Undang-undang baharu e-dagang perkemas kawal selia, pertanggungjawaban – Armizan

Papar: Undang-undang baharu yang digubal bagi menggantikan Akta Perdagangan Elektronik 2006 yang sedia ada bakal memperkemas kawal selia serta pertanggungjawaban platform, penjual, dan pengguna e-dagang di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata cadangan menggantikan akta sedia ada itu dibuat kerana perundangan terdahulu hanya mengesahkan transaksi tanpa menggariskan tanggungjawab undang-undang secara komprehensif.

Beliau berkata dengan akta sedia ada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang bertanggungjawab terhadap e-dagang, juga tidak mempunyai punca kuasa atau kerangka perundangan yang komprehensif untuk kita mengawal selia pelbagai aspek dalam e-dagang.

“Akta Perdagangan Elektronik ini hanya kerangka perundangan mengesahkan perdagangan dalam talian dan perdagangan elektronik, tetapi segi pertanggungjawaban tidak ada digariskan dalam perundangan yang jelas. KPDN telah membawa Memorandum Jemaah Menteri Peringkat Dasar dua bulan lepas.

“Kini berada dalam rangka bersama Jabatan Peguam Negara, Kementerian Komunikasi, MCMC, serta Kementerian Digital untuk menyediakan peruntukan fasa penggubalan. Rang undang-undang baharu itu disasarkan untuk dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah MADANI dan Kempen Internet Selamat di sini, hari ini.

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan akan mempercepat penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-dagang bagi menambah baik aspek kemudahan dan kawal selia sektor berkenaan, selaras dengan kepesatan perniagaan digital masa kini.

Mengulas mengenai Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Komunikasi di sini hari ini, Armizan menyifatkan kempen berkenaan amat penting berikutan peningkatan pelbagai ancaman jenayah siber.

Beliau berkata ancaman siber kini merangkumi kes buli siber, penipuan kewangan, love scam (penipuan cinta), serta penipuan tawaran pekerjaan luar negara yang akhirnya memaksa mangsa menjadi ejen sindiket penipuan.

“Bagi menangani isu berkenaan, kerajaan telah merangka perundangan khusus, termasuk menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) tahun lepas selain garis panduan di bawah Bank Negara Malaysia,” katanya.

Beliau turut menegaskan aspek paling utama ialah pertanggungjawaban pengguna sendiri menerusi kesedaran advokasi serta keberanian membuat laporan pantas kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

“Laporan segera kepada NSRC membolehkan agensi kerajaan membuat tindakan pantas untuk menyelamatkan kewangan mangsa yang terlibat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top