puterialia@hmetro.com.my
Penampilan terbaharu pelakon jelita, Zahirah MacWilson memakai hijab sejak dua bulan yang lalu mengejutkan ramai.
Sudah memasang niat untuk berhijab sejak tahun lalu, Zahirah atau nama sebenarnya Nur Zahirah MacWilson Zainol MacWilson menyifatkan penghijrahan dan penampilan itu sebagai satu perjalanan kerohanian peribadi yang masih berada dalam proses.
“Saya masih mencuba dan ia belum sempurna. Ini sebuah perjalanan dan fasa transisi penghijrahan saya. Namun, saya belajar banyak perkara yang positif di sekelilingnya.
“Ramai mendoakan yang baik-baik, jadi terima kasih kepada semua. Saya amat menghargainya,” katanya ditemui Rap.
Bercerita lanjut, Zahirah mengakui dia masih dalam proses pembelajaran dan berhasrat berkongsi fasa penghijrahannya apabila tiba masa yang sesuai kelak.
“Seperti yang saya katakan, saya masih dalam proses. Jadi insya-Allah bila masa sesuai, saya akan berkongsi. Saya harap ia juga dapat memberi inspirasi kepada orang lain.
“Ini kerana saya rasa salah satu perkara terutama dalam generasi sekarang ialah kita mungkin dah terlupa sebahagian daripada identiti sendiri,” katanya.
Mempunyai pengalaman membesar dan menetap di negara Barat serta Malaysia turut menjadi faktor utama buat dirinya melakukan perubahan positif demi anak.
“Saya pernah tinggal di negara Barat juga Malaysia, jadi saya dapat membuat perbandingan. Saya rasa ada sesuatu yang sangat indah mengenai Malaysia daripada segi budaya, masyarakat dan makanan yang tidak boleh didapati di tempat lain.
“Perkara itu juga menjadi faktor besar yang mengubah saya untuk menjadi seseorang yang boleh dicontohi anak-anak sebagai motivasi serta inspirasi mereka,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon berusia 31 tahun ini menganggap penghijrahannya yang tampil berhijab itu sebagai satu proses pembelajaran menyeronokkan tanpa perlu mengubah identiti diri secara mendadak.
Menurut Zahirah, meskipun pernah berhijab kerana tuntutan sebuah watak, dia kini lebih giat mempelajari pelbagai gaya hijab dengan menonton ‘tutorial’ dan daripada rakan.
“Saya belajar daripada kawan-kawan serta di media sosial. Saya sangat terinspirasi dengan pempengaruh media sosial sama ada dari luar negara mahupun dalam negara.
“Saya melihat hijab bukan sekadar fesyen, sebaliknya simbol ketaatan. Saya rasa sangat terinspirasi dengan mereka. Ramai yang menghantar mesej peribadi (DM) memberitahu mereka terinspirasi dengan saya, tetapi sejujurnya, saya yang sebenarnya terinspirasi dengan anda semua.
“Perkara paling penting adalah mengambil langkah ini secara serius, tetapi jangan terlalu mendesak hingga hilang diri sendiri dan menjadi orang lain. Ada anggapan salah bahawa apabila kita berubah, kita terus jadi orang lain dan banyak perkara jadi terbatas,” ujarnya.
Menurut ibu kepada dua anak itu, daripada segi cita rasa dan gaya fesyen, proses meneroka pelbagai gaya hijab itu sesuatu proses pembelajaran dan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru.
“Kalau orang tanya saya mahu pakai tudung macam mana, saya cakap ini adalah proses pembelajaran. Kita tidak boleh terus melompat secara drastik dan perlu ambil masa kerana ia sebuah perjalanan,” katanya.
Bersyukur suami ‘supportive’
Bagaimanapun, Zahirah tidak melalui sebarang proses yang rumit ketika menyatakan hasrat untuk berhijab kepada suami juga pelakon, Aiman Hakim Ridza.
Menurut pelakon drama Jangan Benci Cintaku ini, keputusan itu hadir secara semula jadi tanpa ada sebarang paksaan daripada suaminya.
“Saya cuma terus memakainya. Maksudnya, dia tidak pernah memaksa saya dan itu satu daripada banyak perkara yang saya hargai mengenai dirinya.
“Ia berlaku secara semula jadi dan dia sangat ‘supportive’ (menyokong). Bagi dirinya, apa yang paling penting adalah hati.
“Dia tidak kisah bagaimana cara berpakaian sekalipun, asalkan hati kita itu baik. Namun apa yang pasti, sebagai seorang suami, dia sangat-sangat menyokong dan saya amat menghargainya,” ujarnya.
Berlakon Dalam Drama Terbaharu Sumpah Ayahku
Dalam perkembangan lain, Zahirah kini dalam proses untuk mendalami karakter antagonis terbaharunya, Zara, bagi memastikan penampilannya kali ini tampil berbeza daripada watak yang pernah dibawakannya sebelum ini.
“Saya masih dalam proses mencipta Zara. Saya rasa proses ini adalah perkara yang paling saya suka sebenarnya. Ia satu proses kreatif.
“Jadi daripada segi perwatakan, pakaian, semuanya termasuk bagaimana dia bertindak balas dengan suaminya dan hubungan dengan bapanya. Ini adalah proses kreatif yang saya sebenarnya suka,” kongsinya.
Sementara itu, mengulas mengenai gandingan bersama suaminya yang juga pelakon Aiman Hakim Ridza selepas sekian lama tidak berlakon bersama, Zahirah berkata, dia tidak berasakan sebarang kekok, sebaliknya teruja untuk menjayakan projek berkenaan.
“Kami teruja untuk berlakon drama ini bersama-sama dan kami sudah lama tidak melakukan penggambaran bersama.
“Saya rasa ini adalah masa yang tepat. Anak-anak pun sudah besar sikit, jadi kami pun ada kelapangan masa sedikit,” kongsinya lagi.
Zahirah bakal muncul dalam drama akasia TV3 terbaharu yang berjudul Sumpah Ayahku yang bakal ditayangkan pada Januari depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

