SHAH ALAM – Gaji kehidupan wajar sebanyak RM3,100 sebulan dicadang dijadikan sebagai rujukan dalam menetapkan kadar minimum baharu.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, cadangan itu dianggap munasabah dengan mengambil kira realiti semasa.
Menurut beliau, antara faktor diambil kira ialah peningkatan kos sara hidup, inflasi, harga makanan, perumahan, pengangkutan dan keperluan asas yang semakin meningkat.
“Kadar gaji minimum di mulakan dengan RM900 pada tahun 2013 dan secara berperingkat di naikan sehingga RM1,700 pada tahun 2024.
“Elemen produktiviti, inflasi, gaji penengah telah di ambil kira semasa menentukan gaji minimum setiap masa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini dilapor berkata, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) secara kolektif telah melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar untuk semua pekerja tetap di Malaysia.
Antara GLIC yang telah memenuhi komitmen itu termasuk Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Beliau berkata, semua pekerja tetap tempatan kini memperoleh gaji melebihi penanda aras gaji kehidupan wajar bulanan.
Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, kerajaan perlu menambah baik dasar gaji minimum dengan mewajibkan struktur skala gaji di adakan agar pekerja tidak tertinggal kebelakang dan terbiar dari proses peningkatan pendapatan.
Ini kerana katanya, terdapat pekerja yang masih bergaji RM1,700 walaupun telah berkhidmat selama 10 tahun kerana ketiadaan struktur gaji.
“MTUC mengharapkan perlaksanaan struktur skala gaji minimum bukan hanya memberikan peningkatan pendapatan golongan bergaji rendah, namun kesannya harus merebak kepada kumpulan pekerja berpendapatan pertengahan.
“Pendekatan sedemikian bukan sahaja membantu mengurangkan ketidakpadanan kemahiran, taraf pendidikan dan pengalaman malah membolehkan syarikat memperoleh bakat berkualiti, sekali gus menyokong pertumbuhan produktiviti dan gaji,” katanya.
Beliau menambah, MTUC juga akan bersama-sama dengan kerajaan untuk memberi idea dan pandangan dalam Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).
Namun tegasnya, kesatuan berkenaan tidak akan sesekali menjadi ‘pak turut’untuk menjaga hati pihak lain.
Ujarnya, MTUC bertegas bahawa kenaikan kadar gaji minima baru adalah bukti pekerja di utamakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
