am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pergerakan Puteri UMNO berharap terus diberikan kepercayaan untuk meletakkan wakil sayap pergerakan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan sasaran bertanding di sekurang-kurangnya lima kerusi.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata Puteri UMNO tidak mahu ketinggalan selepas diberikan peluang bertanding pada PRN Negeri Sembilan, awal bulan ini.
Meskipun menyasarkan sekurang-kurangnya lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk PRN Melaka, beliau berkata keputusan akhir mengenai pembahagian kerusi tertakluk kepada kepimpinan parti.
“Seperti Negeri Sembilan, walaupun pada masa itu BN tidak bertanding di semua kerusi, calon Puteri tidak dilupakan.
“Kalau ditanya Puteri, kalau boleh lima. Kalau tiga pun Alhamdulillah. Tetapi kita serahkan kepada parti. Cuma jangan ketinggalan untuk mengadakan calon Puteri,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini, Ketua Puteri UMNO Bahagian Rasah, Siti Nur Umaira Hasim, menjadi calon tunggal daripada sayap itu dan berjaya memenangi kerusi DUN Labu.
Menjawab sama ada berlaku perbincangan dengan kepimpinan tertinggi parti mengenai calon Puteri UMNO bagi PRN Melaka, Nurul Amal berkata belum ada perbincangan rasmi.
“Ada beberapa perbincangan tidak rasmi, tetapi ketika ini parti memberi tumpuan kepada Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung dari 9 hingga 12 September ini dan mungkin perbincangan akan diteruskan selepas itu.
“Puteri hanya mahu memastikan terdapat wakil daripada Puteri UMNO dalam kalangan calon yang akan bertanding.
“Kami tidak menetapkan jumlah kerusi tertentu atau kerusi mana akan ditandingi… kami belum dapat nyatakan kerana berdasarkan situasi politik semasa, kami perlu melihat perancangan yang akan datang terlebih dahulu.
“Selepas itu, barulah kami dapat menentukan kawasan yang sesuai untuk calon Puteri,” katanya.
Signifikan calon Puteri diberi peluang
Katanya, kewujudan calon daripada Puteri UMNO penting bagi memastikan golongan muda dan wanita terus mempunyai wakil dalam arena politik.
“Kita harapkan pilihan raya negeri akan datang dan juga pilihan raya umum nanti tidak ketinggalan untuk diletakkan dan diberikan ruang kepada Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sebagai calon.
“Kita akan buat yang terbaik untuk membawa nama dan kemenangan kepada parti,” katanya.
Menyentuh persiapan Perhimpunan Agung UMNO, Nurul Amal berkata tumpuan sayap itu tahun ini untuk meraikan ulang tahun ke-25 penubuhan Puteri UMNO, selain mengetengahkan kematangan dan tanggungjawab kepimpinannya.
“Puteri dianggap sayap wanita muda UMNO. Apabila kita bercakap mengenai wanita dalam politik di Malaysia, kita sering bercakap mengenai sasaran 30 peratus, tetapi kadang-kadang kita lupa bahawa sasaran itu turut merangkumi golongan wanita muda.
“Sebagai sayap wanita muda UMNO, kami amat berharap perkara ini tidak lagi sekadar menjadi bahan perbincangan, sebaliknya menjadi keutamaan parti supaya kita dapat membawa suara wanita di Malaysia ke hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
