sukan@hmetro.com.my
Shah Alam: Perenang Selangor, Eliza Tan mengukuhkan peluangnya untuk memburu anugerah Atlet Wanita Terbaik Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor dan tempat dalam skuad negara ke Sukan SEA Malaysia tahun depan selepas menamatkan kempen sulungnya dengan penuh bergaya, hari ini.
Atlet berusia 19 tahun itu mencatat masa 26.44 saat untuk memenangi acara 50 meter (m) gaya bebas wanita, sekali gus memadam rekod temasya yang bertahan selama 18 tahun, iaitu 26.50s milik perenang Sabah, Leung Chii Lin yang dicipta pada 2008 di Pusat Akuatik Darul Ehsan.
Eliza kemudian melengkapkan koleksi tujuh pingat emas pada temasya kali ini apabila membantu Selangor memenangi acara 4x100m berganti-ganti rampaian wanita dengan turut mencipta rekod baharu temasya, 4:18.87s.
Eliza yang berdarah kacukan Malaysia-Australia kini berharap dapat merebut tempat dalam skuad negara ke Sukan SEA Malaysia tahun depan.
“Saya sangat, sangat gembira dengan persembahan saya pada SUKMA pertama. Saya memenangi semua acara individu dengan catatan masa terbaik peribadi yang baharu.
“Saya akan terus berlatih bersungguh-sungguh dan cuba sedaya upaya untuk memperbaiki catatan masa.
“Saya sudah bercakap dengan jurulatih skuad kebangsaan, Michael Kinross dan beliau menyatakan saya berada dalam perancangannya, jadi saya berharap dapat menyertai skuad Malaysia tidak lama lagi,” katanya.
Terdahulu, Eliza turut mencipta rekod kebangsaan ketika dalam perjalanan memenangi acara 100m gaya bebas awal minggu ini.
Kejayaan Eliza meraih tujuh pingat emas turut membantu Selangor muncul juara keseluruhan sukan renang dengan kutipan 20 emas, tujuh perak dan 11 gangsa.
Wilayah Persekutuan berada di tempat kedua dengan 13 emas, enam perak dan tujuh gangsa, manakala Pulau Pinang di kedudukan ketiga selepas meraih lima emas, 16 perak dan tujuh gangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd

