Pengorbanan Nafiz Muaz rehat berlakon demi anak berbaloi

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Nafiz Muaz menyifatkan tempoh tiga tahun ‘menyepi’ dalam karier lakonan kerana memberi fokus untuk membesarkan anak adalah pengorbanan berbaloi sebagai seorang bapa.

Nafiz, 28, berkata keputusan dibuat itu amat tepat kerana dia dapat mengurus, menjaga dan melihat sendiri anak perempuan tersayang membesar depan mata dengan penuh kasih sayang.

“Anak saya sekarang, umur lima tahun dan hubungan kami sangat rapat. Boleh kata, ‘daddy daughter’ sebab dia sangat memahami saya dan selalu akan tanya, saya okay atau tidak? Anak saya seorang yang matang berbanding usia.

“Sebab, saya pun selalu melayan dia secara matang dan terbuka berkongsi semua yang saya rasa. Kalau rasa macam ada masalah pun, saya suka dan seronok bercerita dengan anak saya kerana dia sangat memahami.

“Kadang-kadang anak saya yang akan tanya, ‘daddy, awak okay ke?, atau ada apa-apa yang daddy nak bercakap dengan saya? Jadi, hubungan bapa dan anak antara kami sangat rapat.

“Bila saya aktif berlakon semula dari tahun lalu, inilah masanya. Anak pun sudah besar dan dihantar ke sekolah, dan dia (anak) juga faham saya keluar bekerja serta selalu akan beri kata-kata semangat,” katanya kepada Harian Metro.

Nafiz yang menceburi lakonan sejak 10 tahun lalu berkahwin dengan Diyana Omar pada 2 Januari 2021.

Sementara itu, ditanya mengenai drama terbaharunya, Doa Yang Terlindung 2, Nafiz berkata, jadual penggambaran akan bermula bulan depan dan dia gembira masih dipilih untuk watak Aiman dalam sekuel berkenaan.

“Bagaimana perjalanan watak Aiman, biar rahsia. Cuma, apa yang boleh saya katakan ialah Doa Yang Terlindung 2 ini akan membuat penonton teruja dan mungkin lebih beremosi.

“Apa pun, naskhah ini (Doa Yang Terlindung) adalah karya terbaik dan sudah mencetus fenomena tersendiri. Bahkan, sambutan penonton pada musim pertama disiarkan Februari lalu sangat menggalakkan dan tidak jangka amat disukai,” katanya.

Drama Doa Yang Terlindung mengangkat tema ‘penunggang agama’ dengan mengisahkan sisi gelap Ustaz Irfan lakonan Firdaus yang menjadi tarikan pelajar kerana sikap baik dan ‘soft spoken’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top