am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Kebakaran belukar dilaporkan berlaku di kawasan tanah seluas 2.83 hektar di Jalan Persiaran Medini di sini sejak petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 5.50 petang.
Katanya, seramai 16 anggota membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri serta BBP Skudai digerakkan ke lokasi menggunakan dua jentera dan sebuah kenderaan utiliti.
“Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran belukar yang dianggarkan seluas tujuh ekar.
“Pasukan bertindak menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki selain menggunakan pancutan water cannon bagi memadam kebakaran,” katanya dalam laporan operasi.
Menurutnya, pasukan bomba juga mengambil bekalan air dari pili bomba secara ulang-alik bagi memastikan operasi pemadaman dapat diteruskan.
Katanya, sehingga jam 9 malam tadi operasi pemadaman masih lagi diteruskan.
Terdahulu, video kebakaran belukar berkenaan yang terletak tidak jauh daripada kawasan perumahan penduduk tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd

