am@hmetro.com.my
Melaka: Pasukan bomba terpaksa menggunakan bot bagi membawa anggota serta peralatan pemadaman selepas sebuah bangunan Maahad Tahfiz Bestari Pulau Besar, di sini, terbakar malam tadi.
Kebakaran kira-kira 10 malam itu menyaksikan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau bersama bantuan BBP Melaka Tengah bergerak dari Jeti Anjung Batu ke Pulau Besar menggunakan bot Kevlar 08 untuk menjalankan operasi serta membawa peralatan pemadaman.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.08 malam sebelum pasukan digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah bangunan yang membabitkan stor dan pejabat premis berkenaan.
“Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah kira-kira 80 peratus.
“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Tinggi I Bukari Rajab membabitkan kekuatan 10 anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) serta bot Kevlar.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada 1.20 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.25 pagi.
“Selepas memastikan keadaan selamat, pasukan kemudian bergerak pulang dari Pulau Besar ke Jeti Anjung Batu sebelum kembali ke balai,” katanya.
Jelasnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
