puterialia@hmetro.com.my
KUMPULAN indie terkemuka dari Jakarta, Indonesia, Reality Club bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur menerusi persembahan khas satu malam sempena meraikan ulang tahun ke-10 pembabitan mereka dalam industri muzik pada 13 November depan.
Konsert yang dibawakan khas POST dan Katarsis Live itu menyaksikan empat anggota asalnya kembali menemui peminat di Malaysia menerusi sebuah set persembahan istimewa yang dirangka khas serta susunan muzik baharu bagi katalog lagu popular mereka.
Sepanjang sedekad mewarnai persada muzik, Reality Club menjadi pencetus fenomena dalam membentuk cita rasa generasi pendengar di Asia Tenggara menerusi lagu hit kegemaran ramai seperti Is It The Answer? dan Alexandra yang sarat dengan naratif cinta, kerinduan serta proses kedewasaan.
Pengaruh mereka terus kukuh menerusi album ketiga, Reality Club Presents. yang menggabungkan pelbagai warna genre dan karakter tersendiri sehingga merayakan kejayaan memenangi anugerah Album Alternatif Terbaik di Anugerah Musik Indonesia, manakala lagu Love Epiphany yang dinobatkan sebagai Duo/Kumpulan/Kolaborasi Alternatif Terbaik.
Kematangan penulisan lagu mereka semakin terserlah menerusi album keempat, Who Knows Where Life Will Take You? yang menerima pujian meluas sebagai karya paling yakin serta menyentuh emosi.
Tahun lalu turut menjadi titik perubahan penting buat Reality Club selepas kejayaan konsert ulang tahun yang habis terjual di Jakarta pada Jun sebelum menandatangani kontrak bersama label muzik bebas terkemuka Indonesia, Suneater.
Buat julung kalinya, peminat tempatan kini berpeluang menyaksikan persembahan berbeza daripada sebelum ini untuk meraikan detik bersejarah perjalanan muzik kumpulan berkenaan.
Prajualan tiket konsert ini bermula pada 31 Ogos ini, manakala jualan umum tiket konsert juga diumumkan pada 2 September depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

