Tolak pampasan 6 bulan gaji, Dr Solehah bawa UIAM ke Mahkamah Perusahaan

Kuala Lumpur: Dr Solehah Yaacob akan mencabar penamatan perkhidmatannya oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mendakwa institusi berkenaan bersikap tidak profesional dalam keputusannya.

Solehah ketika bercakap kepada FMT memaklumkan beliau akan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Perusahaan.

“Saya dipecat dalam tempoh 24 jam dan tidak dibenarkan buat rayuan.

“UIAM mahu bayar saya (pampasan) bersamaan enam bulan gaji, tetapi saya tolak,” katanya.

Terdahulu, BH melaporkan perkhidmatan Solehah Yaacob sebagai kakitangan akademik UIAM sudah berakhir berkuat kuasa 27 April lalu.

Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP) UAIM dalam satu kenyataan memaklumkan Solehah tidak lagi memegang jawatan sebagai profesor di universiti berkenaan atau mewakili UAIM dalam apa-apa perjawatan.

Dalam pada itu, Solehah berkata, UIAM bersikap tidak profesional apabila menamatkan perkhidmatannya, terutamanya selepas beliau menerima anugerah Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sehari sebelumnya.

Penilaian MyRA, yang dibangunkan pada 2006, digunakan untuk menilai prestasi penyelidikan universiti-universiti di negara ini.

Solehah menjadi tumpuan umum berikutan beberapa pandangan kontroversi beliau mengenai sejarah dan tamadun Melayu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top