GAZA: Ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza terpaksa berdepan pilihan sukar setiap hari, sama ada mengorek timbunan sampah untuk mencari bahan bakar bagi memasak atau berasak di dapur amal yang semakin terhad.
Bagi keluarga Kahlout, tugas mengumpul bahan bakar itu dipikul Omar, 12, yang setiap hari berjalan ke tempat pembuangan sampah berhampiran untuk mencari plastik dan bahan lain yang boleh dibakar.
Dengan tangan kosong, Omar mengorek timbunan sampah sebelum memasukkan bahan yang ditemukannya ke dalam guni lusuh untuk dibawa pulang ke khemah yang dihuni bersama lapan anggota keluarga.
Keluarga itu tinggal berhampiran tempat pembuangan sampah berkenaan, menyebabkan khemah mereka turut dikerumuni tikus.
Keadaan itu mencerminkan kehidupan kira-kira dua juta rakyat Palestin di Gaza yang masih berlindung di kem-kem perlindungan atau bangunan musnah akibat perang, 10 bulan selepas gencatan senjata rapuh dicapai antara Israel dan Hamas.
Dalam pada itu, keluarga yang kehilangan tempat tinggal turut mempersoalkan kemajuan rundingan yang bertujuan menamatkan konflik berkenaan.
“Gencatan senjata hanya wujud dalam media,” kata bapa Omar, Adam.
Menurutnya, keluarganya kini bergantung kepada pek bantuan kemanusiaan dan makanan daripada dapur amal untuk meneruskan kehidupan.
Namun, rakyat Palestin berkata makanan yang disediakan di dapur amal itu masih tidak mencukupi. Setiap keluarga hanya dibenarkan menerima sekeping ikan bersama nasi.
Ramai yang terpaksa pulang dengan periuk kosong, meskipun kerajaan Israel mendakwa membenarkan kemasukan bekalan makanan yang mencukupi ke Gaza, wilayah yang sebahagian besarnya masih terputus daripada dunia luar.- AP

