Tekanan penguatkuasaan terhadap rangkaian haram dipercayai punca keganasan selatan Thailand

Pattani: Tekanan penguatkuasaan terhadap rangkaian haram dipercayai menjadi punca insiden keganasan terbaharu di tiga wilayah sempadan selatan Thailand, malam Sabtu lalu, apor The Nation.

Komander Wilayah Tentera Keempat, Leftenan Jeneral Norathip Poynok berkata, kumpulan yang terjejas akibat operasi penguatkuasaan yang dipertingkatkan dipercayai bertindak balas terhadap pihak kerajaan.

Katanya, pasukan keselamatan sejak kebelakangan ini meningkatkan tekanan terhadap kumpulan yang disyaki terbabit dalam kegiatan keganasan, penyeludupan dan pengedaran dadah di Pattani, Yala serta Narathiwat.

Menurutnya, operasi kepungan dan pemeriksaan yang dijalankan secara berterusan dari akhir Julai hingga pertengahan Ogos memberi tekanan kepada suspek penjenayah, rangkaian pengedaran dadah dan pedagang haram di ketiga-tiga wilayah berkenaan.

Norathip yang juga Pengarah Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4 berkata, pihaknya percaya insiden terbaharu lebih bertujuan menjejaskan imej operasi kerajaan berbanding menyasarkan nyawa orang awam atau pegawai secara langsung.

“Namun, ada kemungkinan kumpulan yang terjejas dari segi kepentingan kewangan cuba mencetuskan insiden sebagai tindakan balas terhadap pegawai kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan perdagangan haram di kawasan berkenaan dianggarkan bernilai ratusan juta baht setiap bulan dan mempunyai kaitan dengan rangkaian penyeludupan serta pengedaran dadah.

Katanya, pihak berkuasa turut meneruskan operasi “90 Hari Tumpas Dadah” yang membawa kepada rampasan bahan terlarang dalam jumlah besar serta penahanan beberapa suspek.

Dalam operasi berasingan di daerah Yarang pada pertengahan Ogos lalu, pihak berkuasa merampas lebih dua juta batang rokok seludup dan wang tunai kira-kira 18 juta baht (kira-kira RM2.23 juta).

Norathip berkata, kegiatan haram berkenaan dipercayai turut menjadi sumber pembiayaan kepada gerakan pemberontak termasuk melalui kutipan wang perlindungan.

Sementara itu, wilayah sempadan selatan Thailand merekodkan 1,271 insiden pergolakan yang mengakibatkan 3,270 orang terkorban atau tercedera dari 2017 hingga 31 Julai lalu, berdasarkan data Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) dan Pusat Berita Selatan, Isranews.

Jumlah insiden tahunan menurun daripada 175 kes pada 2017 kepada 57 kes pada 2020 sebelum kembali meningkat kepada 170 kes pada 2024, manakala data bagi 2026 pula hanya merangkumi tempoh sehingga 31 Julai.

Dalam perkembangan berkaitan, Norathip menafikan dakwaan bahawa orang awam ditembak dari helikopter, sebaliknya berkata, helikopter dan dron hanya digunakan bagi tujuan rondaan laluan.

Beliau menegaskan tiada senjata digunakan atau tembakan dilepaskan dari pesawat ke arah darat sambil memaklumkan Markas Hadapan ISOC Wilayah 4 akan meneliti setiap kes secara menyeluruh bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.

Terdahulu, beberapa siri insiden keganasan termasuk pembakaran dan letupan berlaku di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani, bermula 8 malam Sabtu yang membabitkan tindakan membakar pejabat pentadbiran, membakar tayar kenderaan serta meletupkan tiang elektrik dan kedai serbaneka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top