Suami berkahwin rahsia, apa hak isteri dan anak?

SOALAN:

Saya ialah isteri kedua dan baru mengetahui bahawa suami sebenarnya telah mempunyai isteri pertama ketika berkahwin dengan saya.

Perkahwinan kami dirahsiakan dan tidak diketahui oleh keluarga. Isteri pertama tidak mempunyai anak, manakala kami dikurniakan seorang anak lelaki.

Saya bimbang sekiranya suami meninggal dunia, perkahwinan kami akan dipertikaikan dan hak anak saya sebagai waris tidak diketahui oleh keluarga sebelah suami.

Apakah perancangan harta yang perlu dibuat oleh suami supaya hak kedua-dua isteri dan anaknya terpelihara tanpa menafikan hak sesiapa?

JAWAPAN:

Isu ini bukan semata-mata mengenai suami yang berpoligami atau perkahwinan yang dirahsiakan.

Dari sudut perancangan harta, persoalan lebih besar ialah sama ada suami telah menyediakan pelan yang jelas untuk melindungi semua individu di bawah tanggungannya.

Apabila seseorang mempunyai lebih daripada satu keluarga, tanggungjawabnya juga menjadi lebih besar. Dia perlu memikirkan nafkah, tempat tinggal setiap isteri, keperluan anak-anak serta kesan yang mungkin berlaku sekiranya dia meninggal dunia.

Kematian tidak menunggu seseorang menyelesaikan rahsianya. Jika tiada persediaan dibuat, isteri dan anak daripada keluarga yang berbeza mungkin terpaksa berhadapan buat kali pertama ketika urusan tuntutan harta pusaka dimulakan.

Langkah pertama ialah memastikan perkahwinan dan kelahiran anak mempunyai dokumen yang sah.

Perkahwinan yang dirahsiakan tidak semestinya terbatal dari sudut hukum syarak, tetapi kedudukannya perlu disahkan dan didaftarkan mengikut undang-undang negeri. Jika dokumentasi perkahwinan belum lengkap, perkara itu perlu diselesaikan ketika suami masih hidup.

Hal ini penting kerana isteri perlu membuktikan kedudukannya sebagai balu yang sah apabila urusan pusaka dimulakan. Begitu juga dengan anak.

Jika perkahwinan itu sah dan anak mempunyai nasab yang sah kepada bapanya, anak tersebut ialah waris faraid.

Haknya tidak gugur hanya kerana kewujudannya tidak diketahui oleh isteri pertama atau keluarga yang lain.

Namun demikian, keluarga tidak sepatutnya hanya bergantung kepada faraid.

Faraid menentukan waris dan kadar bahagian mereka, tetapi tidak dengan sendirinya menyelesaikan masalah pentadbiran pusaka, pertikaian keluarga, keperluan tempat tinggal atau akses segera kepada wang.

Bagi kes seperti ini, suami wajar menyediakan dokumen hibah yang lengkap bagi aset tertentu. Hibah ialah pemberian harta semasa hidup.

Suami boleh merancang pemberian kepada isteri dan anaknya berdasarkan keperluan serta keadaan mereka, dengan syarat hibah itu dibuat secara sah, jelas dan sempurna menurut hukum syarak.

Sebagai contoh, jika setiap isteri tinggal di rumah yang berbeza, suami boleh menilai sama ada rumah tersebut sesuai dihibahkan kepada isteri berkenaan atau disusun melalui instrumen hibah yang bersesuaian.

Tujuannya supaya isteri dan anak tidak kehilangan tempat tinggal atau terpaksa menunggu terlalu lama sehingga proses pentadbiran pusaka selesai.

Suami juga boleh mengenal pasti wang, simpanan, pelaburan atau aset lain yang boleh dirancang untuk pendidikan dan kebajikan anak. Perancangan perlu dibuat secara menyeluruh, bukan dengan memberikan semua harta kepada satu pihak sehingga keluarga yang lain terabai.

Hibah kepada waris adalah dibenarkan. Bagaimanapun, hibah tidak seharusnya digunakan sebagai helah untuk menafikan hak atau menzalimi waris lain.

Setiap hibah perlu mengambil kira pemilikan harta, kemampuan pemberi, keperluan penerima dan kesannya terhadap tanggungan yang lain.

Harta yang telah dihibahkan secara sah dan disempurnakan ketika pemberi masih hidup, pada asasnya, tidak lagi menjadi harta pusaka.

Sebaliknya, aset yang masih dimiliki oleh suami ketika meninggal dunia akan tertakluk kepada proses pentadbiran pusaka dan pembahagian faraid selepas diselesaikan kos pengurusan jenazah, hutang, tuntutan berkaitan serta wasiat yang sah.

Selain hibah, perkara penting yang sering diabaikan ialah pelantikan pentadbir atau wasi. Suami perlu melantik individu yang amanah untuk menguruskan pusakanya selepas kematian.

Pelantikan boleh dibuat dalam kalangan ahli keluarga yang matang, dipercayai serta mengetahui kewujudan semua isteri dan anak.

Pentadbir bukanlah orang yang berhak mengambil harta pusaka sesuka hati.

Tugasnya ialah mengenal pasti aset dan hutang, menyenaraikan semua waris yang sah, mendapatkan kuasa mentadbir, menyelesaikan tanggungan si mati serta memastikan baki pusaka diserahkan kepada pihak yang berhak.

Dalam keluarga berpoligami, pemilihan pentadbir perlu dibuat dengan berhati-hati.

Jika pentadbir hanya mengetahui kewujudan satu keluarga, terdapat risiko isteri atau anak daripada perkahwinan lain tercicir daripada senarai waris. Sebaiknya, suami memilih individu yang mengetahui keseluruhan struktur keluarga dan mampu bertindak secara neutral.

Jika tiada ahli keluarga yang sesuai, suami boleh mempertimbangkan pelantikan pentadbir profesional atau institusi amanah. Apa yang penting, identiti semua isteri, anak dan waris disimpan dalam rekod yang boleh dirujuk. Senarai harta, hutang, akaun, hartanah, takaful dan dokumen berkaitan juga perlu dikemas kini.

Wasiat boleh disediakan untuk menerangkan hasrat serta membantu pentadbir memahami amanah yang perlu dilaksanakan.

Namun, wasiat tidak boleh digunakan secara bebas untuk mengubah bahagian waris faraid. Wasiat kepada waris pada asasnya memerlukan persetujuan waris lain selepas kematian.

Sebab itu hibah, pelantikan pentadbir dan wasiat perlu difahami sebagai instrumen yang berbeza tetapi saling melengkapi.

Dalam isu ini, matlamat perancangan bukan untuk memenangkan isteri pertama atau isteri kedua.

Kedua-duanya perlu dilindungi berdasarkan kedudukan yang sah. Anak juga tidak seharusnya menjadi mangsa kepada keputusan orang dewasa atau kerahsiaan yang tidak pernah dipilihnya.

Suami perlu menyusun keadaan keluarganya ketika masih hidup. Sekurang-kurangnya, beliau mesti menyelesaikan dokumentasi perkahwinan, mengesahkan kedudukan anak, menyediakan hibah bagi aset yang sesuai, melantik pentadbir serta menyimpan rekod harta dan waris secara lengkap.

Perancangan harta yang baik bukan bertujuan membelakangi faraid. Sebaliknya, ia membantu menjaga kebajikan setiap keluarga, memudahkan pentadbiran pusaka dan memastikan hukum faraid dapat dilaksanakan terhadap harta yang masih menjadi milik si mati.

Seorang suami yang bertanggungjawab bukan sahaja menyediakan nafkah ketika hidup, tetapi juga meninggalkan perancangan yang jelas supaya kedua-dua keluarga tidak bermusuhan selepas kematiannya. Rahsia mungkin boleh disimpan untuk sementara waktu, tetapi hak waris tidak boleh dibiarkan terus menjadi rahsia.

Kesimpulannya, perlindungan terhadap hak isteri dan anak memerlukan perancangan yang jelas serta didokumenkan dengan sempurna. Penyediaan dokumen hibah, pelantikan pentadbir dan rekod waris yang lengkap dapat memudahkan urusan pentadbiran pusaka, sekali gus mengurangkan risiko pertikaian dalam kalangan ahli keluarga.

*Dr Noraini Ismail ialah Pengasas Pennawaris Sdn Bhd dan Ikon Perancangan Harta & Pengurusan Pusaka

Scroll to Top