PNB Merdeka Ventures lancar filem merdeka pertama bertajuk GAPAI

PNB Merdeka Ventures lancar filem merdeka pertama bertajuk GAPAI

KUALA LUMPUR – Bersempena dengan Bulan Kebangsaan, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) iaitu PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV) melancarkan GAPAI, filem kemerdekaan pertama terbitannya untuk menyemarakkan semangat merdeka dalam diri rakyat Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, PNBMV memaklumkan GAPAI mendapat ilham daripada detik bersejarah Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj yang menggapai langit semasa melaungkan perkataan “merdeka” sewaktu upacara Perisytiharan Kemerdekaan pada 1957.

Menurut kenyataan itu, ia merupakan filem berdurasi tiga minit yang dihasilkan oleh Twentyoneseventeen, sebuah syarikat penerbitan tempatan Malaysia dengan kerjasama agensi kreatif tempatan PNBMV iaitu M&C Saatchi Karsa Malaysia.

Selepas tayangan perdana eksklusif, GAPAI akan dilancarkan kepada orang ramai pada 25 Ogos di saluran media rasmi Merdeka 118.

“Memaparkan kehidupan dan pengalaman harian rakyat Malaysia, filem ini membayangkan semula satu daripada detik paling ikonik negara, mengingatkan kita bahawa nilai-nilai merdeka terus membentuk kehidupan kita pada hari ini.

“Filem ini berlatarkan presint Merdeka 118 yang menyulam warisan sejarah dengan aspirasi untuk masa depan,” jelas kenyataan itu.

PNB Merdeka Ventures lancar filem merdeka pertama bertajuk GAPAI

GAPAI dihasilkan oleh Twentyoneseventeen, sebuah syarikat penerbitan tempatan Malaysia dengan kerjasama agensi kreatif tempatan PNBMV iaitu M&C Saatchi Karsa Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim berkata, GAPAI mencerminkan falsafah yang menjadi pedoman dalam segala yang dilakukan syarikat.

“Sebagai pemegang amanah kepada satu daripada warisan paling penting negara, kami bertanggungjawab bukan sahaja untuk memelihara sejarah kita, tetapi juga memastikan warisan sejarah terus memberi inspirasi kepada generasi masa depan.

“Presint Merdeka 118 berdiri megah di tapak di mana kemerdekaan Malaysia diisytiharkan dan kami mahu setiap kunjungan ke sini menjadi peringatan tentang dari mana kita datang dan berapa jauh kita telah pergi,” katanya.

PNBMV menjelaskan, sebagai sebahagian daripada sambutan Bulan Kebangsaan, presint Merdeka 118 akan bekerjasama dengan LOCCO untuk menganjurkan aktiviti selama tiga hari dari 29 hingga 31 Ogos, 2026 di Stadium Merdeka dan Merdeka Boulevard.

Program ini akan menampilkan Bazar Komuniti Merdeka, aktiviti budaya dan warisan serta Merdeka Flashmob selain Warisan KL Explorace yang menawarkan pelbagai pengalaman menarik kepada pengunjung di seluruh presint.

Pengunjung juga boleh menikmati beberapa daya tarikan terbaharu di presint Merdeka 118 termasuk Look at 118, dek tinjauan yang memberikan perspektif unik menara tertinggi Malaysia dan Makan Makan Peranakan oleh Kumpulan Serai yang berlatarkan menara ikonik ini.

Muzium Tekstil Merdeka (MTM) yang baru dibuka menyimpan khazanah warisan Tekstil Dunia Melayu akan dibuka sepanjang minggu kemerdekaan untuk mengalu-alukan kedatangan orang ramai yang juga boleh mengunjungi kedai cenderahatinya, MTM Shop.

Kemasukan ke muzium adalah percuma dari 22 Ogos hingga 30 September 2026. – Bernama

Scroll to Top