Pengendalian haiwan berbisa dalam Program Latihan Kesedaran Orang Awam Pengendalian Haiwan Berbisa di Dewan Taman Temerloh Jaya kelmarin dilaksanakan berdasarkan prosedur tetap operasi (PTO) serta tatacara keselamatan yang ditetapkan.

Memetik laporan MalaysiaGazette, penjelasan itu diberikan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) susulan kejadian yang mengorbankan seorang anggotanya, Allahyarham Sarjan (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin selepas menyertai program berkenaan.
Menurut APM, Allahyarham merupakan anggota yang mempunyai latihan dan kemahiran dalam bidang berkaitan, selain berpengalaman mengendalikan haiwan berbisa.
Allahyarham juga telah menabur khidmat bersama APM sejak 2010.
“Semua anggota APM diwajibkan menghadiri latihan berkaitan sebelum dibenarkan menyertai operasi.
“Anggota yang terlibat juga telah menjalankan tugasan berdasarkan prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan,” menurut kenyataan APM, hari ini.
Dalam masa sama, APM berkata pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan sentiasa bersedia melakukan penilaian terhadap aspek keselamatan, pengurusan risiko serta pelaksanaan aktiviti melibatkan haiwan berbisa.
Menurutnya, penambahbaikan secara berterusan akan dilaksanakan sekiranya diperlukan bagi memastikan setiap aktiviti dapat dijalankan dengan mengambil kira keselamatan semua pihak.
“Pemergian beliau merupakan kehilangan yang amat besar kepada APM dan negara,” jelasnya.
APM turut menzahirkan rasa dukacita atas kejadian itu serta menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham yang kehilangan insan tersayang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi Sabtu, Muhamad Muazam Shah, yang juga anggota APM Daerah Temerloh, dilaporkan dipatuk ular ketika menjalankan tugas mengendalikan reptilia berkenaan.
Artikel lain: Selamatkan nyawa 3 individu dalam tasik, lelaki dapat penghargaan APM Johor
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, selepas lebih 14 jam bertarung nyawa, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 1.50 pagi Sabtu di HoSHAS.
Jenazah Allahyarham kemudiannya disolatkan di Masjid Kampung Bukit Kelulut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kelulut, Temerloh.
Sumber: MalaysiaGazette (Mohd Zaini Samsu Hadi)

