PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneliti cadangan pelaksanaan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan inisiatif sewa untuk milik (RTO) sebagai antara input yang dikemukakan pemegang taruh untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, cadangan berkenaan antara perkara dibawa dalam Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 KPKT yang menghimpunkan 350 pemegang taruh daripada pelbagai sektor.
Menurutnya, selain isu pemilikan rumah, pemegang taruh turut mengemukakan cadangan berkaitan penyediaan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan pusat kawalan bagi menyokong agenda bandar pintar.
“Semua cadangan yang dikemukakan amat penting dan akan diteliti oleh kementerian dari aspek kebolehlaksanaan, keutamaan serta kemampuan kewangan semasa kerajaan.
“Hal ini juga penting bagi memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan bukan sahaja dibelanjakan dengan berhemah, tetapi diterjemahkan kepada hasil, impak dan manfaat yang nyata kepada rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada sesi berkenaan di KPKT di sini pada Isnin.
Beliau berkata, cadangan lain turut meliputi pemberian insentif bagi meningkatkan kadar kitar semula serta mekanisme pembiayaan hijau bagi menggalakkan pelaburan dalam teknologi dan penyelesaian pengurusan sisa.
Jelasnya, pemegang taruh turut mencadangkan peningkatan geran tahunan bagi Balai Bomba Sukarela (PBS), pembangunan KPKT Urban Resilient Program, penyediaan kemudahan kesihatan bagi menghadapi cabaran masyarakat menua serta penambahbaikan infrastruktur perbandaran bagi menyokong inisiatif Bandar Selamat.
Ujar Kor Ming, KPKT akan mengadakan sesi perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) pada 3 September ini bagi membincangkan cadangan inisiatif yang boleh diketengahkan untuk pertimbangan.

Kor Ming
Dalam merangka cadangan Inisiatif Belanjawan 2027, KPKT turut mengambil kira tiga tonggak Ekonomi Madani iaitu meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan strategik dalam sektor bernilai tinggi dan berteknologi, meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial serta memperkukuh tatakelola dan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan telus.
Sementara itu, Kor Ming berkata, lima daripada enam inisiatif signifikan KPKT di bawah Belanjawan tahun ini telah melepasi sasaran ditetapkan, manakala satu lagi berada pada landasan untuk mencapai atau melepasi sasaran menjelang akhir tahun.
Antara pencapaian berkenaan termasuk penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang merekodkan 304 projek berbanding sasaran 200 projek, iaitu 152 peratus.
Pembinaan Gerai Madani dan naik taraf pasar awam uzur pula mencatatkan 102 projek berbanding sasaran 60 projek, mencapai 170 peratus.
Bagi naik taraf sistem perparitan dan longkang, sebanyak 154 projek dilaksanakan berbanding sasaran 150 projek, manakala penyelenggaraan tandas awam di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mencatat pencapaian tertinggi sebanyak 734 peratus.
“Sebanyak 367 projek penyelenggaraan tandas awam dilaksanakan berbanding sasaran 50 projek,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pembaikan kuarters dan balai bomba mencapai 100 peratus selepas 113 projek disiapkan, manakala Program Bomba Bersama Rakyat mencatat 89 peratus dengan 57 daripada 64 program dilaksanakan setakat 31 Julai.
Sesi libat urus itu melibatkan pemegang taruh daripada pelbagai sektor termasuk agensi kerajaan, badan profesional, institusi kewangan, pemaju perumahan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan komuniti dan institusi pengajian tinggi.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini.
