Iran nafi tentera lumpuh akibat serangan AS

TEHERAN: Iran pada Isnin menolak pengumuman Washington mengenai kempen tekanan ekonomi besar-besaran, dengan berkata, langkah itu membuktikan dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa mereka telah melumpuhkan keupayaan ketenteraan dan nuklear Teheran adalah tidak benar.

Terdahulu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, menulis dalam Financial Times bahawa Washington melancarkan serangan kewangan terbesar yang pernah digerakkan terhadap sebuah negara musuh  yang disifatkannya sebagai ‘economic D-Day’ atau serangan ekonomi besar-besaran.

“Naratif anda Bessent) tidak masuk akal: anda berkata kuasa ketenteraan Iran telah ‘dilumpuhkan’, 100 peratus kilang ketenteraannya telah ‘dimusnahkan’ dan program nuklearnya telah ‘dikuburkan’,” kata Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, dalam satu hantaran di X.

“Masih diperlukan ‘serangan kewangan terbesar dalam sejarah’ dan pengerahan ‘semua institusi dan kuasa’ Amerika ! Adakah ini kemenangan atau pengakuan bahawa Amerika telah kalah?” soalnya.

Bessent turut menulis di X bahawa langkah itu diambil selepas AS melumpuhkan keupayaan ketenteraan Iran, memusnahkan hampir 100 peratus kilang ketenteraannya dan menguburkan program nuklearnya.

Sementara itu, Kementerian Luar Iran memberi amaran kepada negara-negara lain supaya tidak menyertai kempen ekonomi AS. 

Jurucakapnya, Esmaeil Baqaei berkata penyertaan dalam kempen itu pasti akan membawa akibat tersendir.

AS dan Israel mencetuskan perang di Asia Barat dengan gelombang besar serangan terhadap Iran pada 28 Februari, yang mencetuskan tindakan balas Iran di seluruh rantau itu. – AFP

Scroll to Top