Cek RM10 juta tular, A Aida belum sedia sahkan dakwaan sudah bernikah

Kuala Lumpur : Penerbit drama, Datuk A Aida, 56, terkejut apabila gambar cek bernilai RM10 juta yang tular di media sosial mencetuskan dakwaan dia sudah mendirikan rumah tangga.

A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, bagaimanapun, belum bersedia mengesahkan atau menafikan dakwaan berkenaan, sebaliknya meminta masa untuk menyiasat pihak yang menyebarkan gambar terbabit.

Ketika dihubungi BH Online, A Aida berseloroh mengenai nilai cek yang dikaitkan dengan dakwaan pernikahannya itu.

“Masih laku lagi saya? Tengoklah, ramai yang nak bagi. Setakat RM10 juta, apa ada hal,” katanya.

Mengulas lanjut, A Aida berkata, dia belum boleh berkongsi lebih lanjut mengenai dakwaan berkenaan kerana masih mahu mendapatkan kepastian mengenai asal-usul gambar yang tular.

“Tak boleh cakap lagilah. Beri masa kepada saya untuk siasat siapa yang viralkan gambar itu.

“Kalau betul saya akan berkahwin, tentulah saya akan adakan sidang media,” katanya.

A Aida turut meminta orang ramai mendoakan agar dia dipertemukan dengan jodoh yang sanggup memberikan hantaran bernilai RM10 juta.

“Doakanlah semoga saya bertemu jodoh yang sanggup bagi saya hantaran RM10 juta,” katanya sambil tertawa.

A Aida sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga sebanyak empat kali.

Pada 25 April 2019, dia bercerai talak satu dengan pelakon, Ariff Aziz, selepas 10 bulan mendirikan rumah tangga.

Sebelum itu, A Aida berkahwin dengan penyanyi kumpulan Spring, Ameng pada 1994 dan mereka bercerai pada 2003. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak perempuan, Wan Az Aleesa, 27, dan Wan Azevanatassha, 22.

A Aida kemudian mendirikan rumah tangga dengan seorang pegawai polis pada 2007, namun perkahwinan itu berakhir dengan perceraian pada 2013. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rahul, 15.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top