am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Kebakaran paya gambut di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove, Pengerang, di sini terus merebak daripada kira-kira 29 hektar petang tadi kepada 54.1 hektar setakat 9 malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor dalam satu kenyataan berkata, kebakaran terbabit membabitkan kawasan paya gambut dan dibahagikan kepada dua sektor bagi memudahkan operasi pemadaman.
“Pasukan Keluaran Khas (PKO) bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan pam angkut sumber air terbuka di sektor A.
“Operasi turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai dan BBP Penawar yang menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan pam water tanker di sektor B,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman masih dijalankan dan pasukan bomba akan meneruskan usaha selama 24 jam sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran berkenaan dipercayai mudah merebak berikutan keadaan cuaca panas dan berangin, selain kawasan terbabit merupakan tanah gambut yang mudah menyimpan bara api dan terbakar semula.
Bagaimanapun, setakat ini tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.
Seramai 15 anggota terlibat dalam operasi malam ini diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Baharudin Idris dengan kekuatan dua jentera dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera tangki air.
Terdahulu, pihak bomba menerima laporan kebakaran lalang di kawasan berkenaan 11.25 pagi tadi membabitkan keluasan sekitar 29 hektar.
Gambar dan video kejadian turut tular di media sosial apabila kepulan asap tebal dilihat menjulang tinggi sehingga menjejaskan jarak penglihatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
