am@hmetro.com.my
Sandakan: Bau busuk dari sebuah rumah merungkai misteri kehilangan seorang wanita warga emas apabila mayatnya ditemui dengan tangan diikat di dalam tandas rumah di Tanah Merah, Jalan Leila, di sini.
Susulan penemuan itu, polis menahan 10 orang termasuk lima wanita dan tiga daripadanya warga Filipina bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pihaknya dimaklum orang awam mengenai bau busuk di rumah dua tingkat jenis kayu itu dan melakukan pemeriksaan pada 8.45 malam Rabu lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan mayat mangsa berusia 62 tahun di dalam tandas dengan tangannya diikat ke belakang, manakala kepala ditutup kain.
“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari berdasarkan keadaan mayat yang mereput.
“Kita berjaya membuat tangkapan kurang daripada 24 jam. Seramai 10 individu yang ditahan dengan dua daripadanya dikenal pasti sebagai suspek utama.
“Motif kejadian dipercayai akibat perselisihan faham mengenai upah ubah suai rumah dan kerana suspek tidak puas hati terhadap mangsa yang menaikkan kadar sewa bulanan rumah itu yang didiami mereka,” katanya di sini, hari ini.
George berkata, kesemua suspek mempunyai hubungan kekeluargaan dan polis merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian iaitu sebatang kayu selain, beberapa barang peribadi milik mangsa yang dilarikan.
“Kertas siasatan sudah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
