200 hektar hutan simpan kekal diceroboh

KUALA LANGAT: Lebih 200 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Kuala Langat Selatan digondolkan peneroka haram untuk pertanian ko­mersial yang mengaut keuntungan jutaan ringgit.

Lebih membimbangkan, penerokaan haram yang berjalan dengan membakar hutan tanah gambut itu masih ber­terusan, walaupun pelbagai operasi penguatkuasaan dilaksanakan.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati, kawasan yang diteroka ditanam pelbagai komoditi termasuk halia, kunyit, ubi kayu, pisang, lengkuas, serai dan ubi keledek, selain kira-kira 20 hektar kawasan dikenal pasti ditanam dengan kelapa sawit.

Kegiatan itu dipercayai telah berlaku sejak sekian lama dan membabitkan individu yang mengambil kesempatan terhadap kawasan hutan simpan untuk tujuan pertanian serta keuntungan komersial.

Peneroka haram juga dipercayai menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengusahakan hutan diteroka dan hasilnya dijual di pasaran tempatan.

Melalui tinjauan udara menggunakan dron, kegiatan penerokaan masih aktif iaitu dengan sengaja mencetuskan kebakaran di hutan dara sebelum ia digantikan sebagai tanah pertanian.

Kepulan asap di beberapa titik berasingan dikesan dipercayai sengaja dicetuskan oleh peneroka haram supaya tanah tersebut dapat digunakan bagi mengaut keuntungan daripada hasil pertanian.

Tindakan membakar hutan simpan tanah gambut itu mengakibatkan kemusnahan flora dan fauna tidak ternilai bahkan mendedahkan beberapa jenis pokok yang terancam kepada risiko kepupusan.

Antaranya meranti bunga (shorea teysmanniana), meranti paya (shorea platycarpa), meranti bakau (shorea uliginosa), mersawa paya (anisoptera marginata) dan kayu arang (diospyros pilosanthera var nurii).

Turut dikhuatiri terjejas adalah pokok ramin melawis (gonystylus bancanus), punah (tetramerista glabra) dan kempas (koompassia malaccensis).

Sumber Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan, taktik sedemikian telah lama diguna pakai peneroka haram di hutan simpan tersebut dengan menggunakan kelebihan tanah gambut supaya kebakaran merebak lebih pantas.

Katanya, peneroka haram kemudian akan mengalihkan kayu-kayan yang terbakar dan memulakan aktiviti pertanian di tanah tersebut.

“Taktik mereka agak licik kerana tanah yang diterokai secara haram itu bersebelahan dengan tanah pertanian milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Mereka ini kemudian menggajikan warga asing dengan menggunakan khidmat orang tempatan sebagai pengurus di tanah-tanah diterokai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

HSK Kuala Langat Selatan terletak di Kuala Langat dengan keluasan asal melebihi 6,900 hektar.

Hasil maklumat awam dan risikan, JPNS turut melancarkan Op Terjah di hutan simpan tersebut.

Pengarah JPNS, Azhar Ahmad berkata, dalam Op Terjah 3 Selasa lalu, seorang lelaki berusia 72 tahun berjaya ditahan dipercayai berperanan sebagai pengurus di tanah diteroka. – UTUSAN

Scroll to Top