New York: Pemain Brazil, Joao Fonseca menarik diri daripada Terbuka Amerika Syarikat (AS) susulan kecederaan abdomen, kata pemain berusia 20 tahun itu menerusi Instagram pada Isnin, sekali gus menjadi antara nama berprofil tinggi terbaharu yang tidak akan beraksi dalam acara perseorangan lelaki.
Pemain di ranking ke-26 dunia itu antara taruhan utama di Flushing Meadows selepas persembahan sensasinya mara ke suku akhir Terbuka Perancis tahun ini dengan menewaskan Novak Djokovic dan Casper Ruud.
“Selepas menjalani pemeriksaan dan memulakan rawatan bagi kecederaan abdomen, saya dan pasukan menyedari bahawa saya memerlukan lebih banyak masa untuk pulih sepenuhnya supaya dapat bersaing pada tahap tinggi,” kata Fonseca.
“Bukan keputusan mudah untuk dibuat kerana ini kejohanan yang sangat istimewa buat saya. Kami akan terus bekerja keras supaya saya dapat kembali beraksi secepat mungkin.”
Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner dan pemain Britain, Jack Draper menarik diri daripada kejohanan itu minggu lalu akibat kecederaan. Bekas pemain nombor empat dunia, Holger Rune juga tidak akan beraksi.
Undian utama perseorangan lelaki akan bermula pada Ahad.
© New Straits Times Press (M) Bhd

