KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diseru mengambil teladan Rasulullah SAW dengan memastikan perbezaan dalam kalangan masyarakat tidak menjadi punca perpecahan, sebaliknya dipelihara sebagai kekuatan untuk membina kehidupan harmoni.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, kepelbagaian suku kaum, agama dan budaya di negeri itu perlu terus diperkukuh menerusi semangat saling menghormati, memahami dan bekerjasama.
“Dalam kehidupan bermasyarakat, Rasulullah SAW telah memberikan teladan bahawa perbezaan tidak seharusnya menjadi punca perpecahan.
“Ini sangat bertepatan dengan keadaan kita di Sabah, walaupun wujud pelbagai suku kaum, agama dan budaya, rakyat kekal hidup dalam rukun, damai dan harmoni,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Musa berkata, seluruh rakyat Sabah perlu terus memperkukuh perpaduan, selain menghindari sebarang bentuk permusuhan dan sentiasa mengutamakan perkara yang menyatukan masyarakat.
Katanya, perbezaan pandangan juga perlu diurus dengan penuh hikmah, manakala perselisihan tidak seharusnya dibiarkan sehingga bertukar menjadi permusuhan.
“Perbezaan pandangan hendaklah diurus dengan hikmah. Perselisihan jangan dibiarkan menjadi permusuhan,” katanya.
Dalam pada itu, Musa juga mengingatkan kemajuan teknologi dan keterbukaan maklumat yang berkembang pesat bukan sahaja menyediakan pelbagai peluang, malah turut membawa cabaran baharu kepada masyarakat. – UTUSAN

