KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia disyorkan agar menubuhkan sebuah badan penyiasat khas di bawah tanggungjawabnya bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2018 hingga 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu dikemukakan secara tidak formal oleh ahli-ahli Parlimen yang hadir dalam wacana intelektual bertajuk Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di sini pada Selasa.
Beliau menjelaskan, penubuhan badan penyiasat khas di bawah PAC adalah pendekatan yang lebih afdal dan sesuai berbanding membawa isu berkenaan ke Kabinet atau menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu.
“Forum ini adalah satu wacana intelektual untuk bukan hanya mengupas tetapi memperjelaskan beberapa aspek tata kelola pengurusan Tabung Haji.
“Laporan RCI yang dipengerusikan oleh Tun Md Raus Sharif memperlihatkan tiada penudingan jari kepada mana-mana individu.
“Pada hemat saya, apa yang disarankan secara tidak formal oleh ahli-ahli Parlimen harus diberikan keutamaan, terutamanya PAC harus menubuhkan badan penyiasat di bawah tanggungjawab PAC sendiri.
“Ini lebih afdal berbanding pendekatan lain kerana mereka mempunyai locus standi yang tercatat dalam tugas dan tanggungjawab PAC itu sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan berakhir.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, langkah penyiasatan itu penting bagi memastikan dapatan kajian selepas tahun 2017 diperjelaskan secara telus demi membetulkan persepsi awam berdasarkan realiti dan fakta sebenar.
Mengulas mengenai laporan pengauditan TH, beliau menegaskan bahawa Jabatan Audit Negara (JAN) telah mengeluarkan sijil bersih yang membuktikan pengauditan dilakukan mengikut peruntukan Akta Tabung Haji 1995.
“Tiada tuduhan ‘penyelewengan’, sebaliknya sijil yang dikeluarkan oleh JAN secara jelas memperlihatkan sijil bersih telah dikeluarkan.
“Pengauditan yang dilakukan terhadap Tabung Haji adalah berdasarkan kepada aktanya, dan Akta Tabung Haji menyebut bahawa badan yang harus melakukan pengauditan ialah Jabatan Audit Negara.
“Inilah yang harus dilihat oleh PAC agar perkara ini dapat diperbetulkan dan persepsi dapat diperjelaskan berdasarkan realiti yang mahu diketahui oleh khalayak umum,” katanya.
Apabila ditanya sama ada hasil wacana itu akan dibawa ke Kabinet, beliau memberitahu perkara itu tidak perlu memandangkan forum berkenaan berperanan sebagai platform penjelasan dan keutamaan harus diberikan kepada PAC untuk menjalankan peranan penyiasatan.