Ribuan umat Islam semarak sambutan Maulidur Rasul di seluruh negara

Kuala Lumpur: Ribuan umat Islam di seluruh negara hari ini menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul 1448/2026 dengan menyertai perarakan dan mengalunkan selawat sebagai tanda kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Mengangkat tema “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”, sambutan tahun ini bukan sahaja menghimpunkan umat Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat, malah turut menyaksikan penyertaan agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Bagi peringkat kebangsaan, sambutan yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bersama-sama lebih 4,000 peserta termasuk kontinjen perarakan.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Dalam ucapan, Anwar berkata, penghayatan terhadap Islam tidak seharusnya terhenti pada sambutan atau perarakan Maulidur Rasul sahaja, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi penghayatan kehidupan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat kepada seluruh umat manusia.

Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul perlu menjadi wadah untuk menyuntik semangat, kesedaran dan pencerahan dalam kalangan umat Islam.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Salehuddin Saidin serta Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohamad Fahmi Ngah.

Majlis itu dihadiri hampir 1,000 peserta dan turut menyaksikan Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kepada Hindon Abdullah, 84, yang merupakan figura gerakan dakwah muslimah serta pembangunan institusi keluarga dan masyarakat di Selangor.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan di sebuah hotel.

Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari, Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim turut hadir.

Bagaimanapun, perarakan yang melibatkan 4,000 peserta daripada 74 kontinjen merangkumi agensi kerajaan dan swasta, institut pengajian tinggi awam, pelajar serta Orang Kurang Upaya (OKU) terpaksa dihentikan susulan hujan lebat berterusan pagi tadi.

Di JOHOR, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengetuai perarakan melibatkan 5,000 peserta bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Batu Pahat.

Sebanyak 50 kontinjen berarak sejauh satu kilometer dari pekarangan Pejabat Daerah Batu Pahat sehingga Masjid Sultan Ismail, dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru yang menghantar 200 peserta dinobatkan sebagai kontinjen dengan penyertaan paling ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Mohd Fared Mohd Khali, Mufti Negeri Johor Datuk Yahya Ahmad dan barisan jawatankuasa kerajaan negeri turut menyertai perarakan berkenaan.

Di TERENGGANU, Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang turut disertai Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu itu, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Sukarelawan Ummah kepada pertubuhan komuniti Gong Tok Nasek Care serta aktivis Misi Flotilla Kemanusiaan Antarabangsa Muhd Asmawi Mukhtar@Awang.

Anugerah Pengkarya Islamik pula dianugerahkan kepada Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi.

Di KEDAH, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Wisma Darulaman bersama-sama Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, titah ucapan Tuanku Sultan, tayangan video khas Maulidur Rasul serta persembahan marhaban dengan lebih 500 orang hadir memeriahkan sambutan.

Sultan Sallehuddin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Imam kepada Imam Masjid Jame’ As-Shahab Kepala Batas Che Ismail Bakar, manakala mantan Mufti Kedah Datuk Paduka Syeikh Hasbullah Abdul Halim menerima Anugerah Khas peringkat negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top