am@hmetro.com.my
Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan pihak berkaitan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah hakisan pantai selain pencemaran laut yang berlaku di Tanjung Asam di Gertak Sanggul, ketika ini.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati hakisan pantai sejak lebih setahun lalu itu menyebabkan keindahan alam semulajadi pantai berkenaan dan sekitarnya berubah.
Katanya, banyak pokok tumbang atau hampir tumbang manakala air laut di situ semakin tercemar.
“Bangsal bagi pengunjung pantai berteduh juga mengalami kerosakan akibat diancam hakisan dan dibadai ombak.
“Sebelum ini air laut di sini bersih dan tidak berkelodak, tetapi sekarang tercemar dan pasir di kawasan pantai dahulunya putih bersih kini bertukar kehitaman.
“Malah ancaman ombak juga semakin kuat melanda kawasan pantai itu dan paras air laut turut meningkat hingga ke laluan orang ramai ke pantai berkenaan,” katanya tadi.
Sehubungan itu Mohideen berkata , CAP menggesa pihak kerajaan menjalankan siasatan dan kajian secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar masalah hakisan pantai berkenaan.
Katanya, CAP berpendapat kemungkinan kejadian berkenaan disebabkan oleh pelaksanaan projek tambak laut berhampiran yang menghalang arus, menyebabkan air laut berpatah balik dan membadai pantai Tanjung Asam.
“CAP bimbang jika terbukti masalah ini berpunca daripada pelaksanaan projek tambak laut, kesan buruk yang lebih serius ke atas alam sekitar akan berlaku pada masa akan datang sekiranya masalah ini dibiar berlarutan dan gagal ditangani dengan berkesan.
“CAP menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang mendedah kepada umum hasil siasatan dan kajian yang dibuat mengenai perkara ini serta langkah yang diambil bagi mengatasinya,” katanya lagi.
Terdahulu Harian Metro melaporkan mengenai nasib Pantai Tanjung Asam yang sebelum ini dikenali dengan pasir bersih kini bagaikan ‘ditelan’ ombak, malah ada antara kemudahan awam berhampirannya mulai rosak.
Sebahagian benteng sudah rosak dan berlubang selain turut menjejaskan bangunan Pusat Bencana Laut (Ramp) yang dibina sebelum ini.
Manakala Kira-kira 100 meter dari kawasan bot nelayan itu, terdapat dua pondok rehat didakwa milik Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) bagai menunggu masa untuk musnah apabila bahagian lantai pecah susulan pasirnya dihakis ombak manakala tiang juga rosak dan bengkok.
© New Straits Times Press (M) Bhd

