WARSAW: Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan di Poland kerana disyaki melakukan gangguan, penipuan identiti dan menyebabkan kerugian besar kepada beberapa syarikat dengan membuat tempahan ratusan piza ke alamat rawak di seluruh negara.
Biro Pusat Membanteras Jenayah Siber Poland (CBZC) berkata tiada seorang pun daripada individu yang dinamakan sebagai penerima mengetahui mengenai tempahan yang dibuat menggunakan nama mereka.
Menurut polis, suspek dari Szczecin itu turut memasukkan maklumat peribadi mangsa yang hanya diketahui oleh mereka sendiri atau rakan serta ahli keluarga terdekat ketika membuat tempahan.
Tempahan berkenaan turut disertakan ancaman serius termasuk menculik kanak-kanak, membakar tempat kerja dan sengaja menyebabkan kemalangan jalan raya.
Perbuatan itu menyebabkan ramai mangsa berasa terancam dan mengalami tekanan.
Kebanyakan tempahan palsu berkenaan dihantar ke alamat di Szczecin, manakala sekurang-kurangnya beberapa dozen lagi menyasarkan alamat di bandar utama seperti Wrocław, Kraków dan Warsaw.
Beberapa restoran mengalami kerugian besar selepas memenuhi tempahan berkenaan, manakala sebahagian lagi terpaksa menolak pesanan atas faktor teknikal.
Dalam satu kes, suspek dipercayai membuat tempahan 300 piza bernilai lebih 37,000 zloty (RM10,000).
Beberapa restoran turut membatalkan tempahan kerana jumlah piza yang terlalu banyak menyebabkan pesanan tidak dapat disediakan dalam tempoh ditetapkan.
Pegawai Biro Pusat Membanteras Jenayah Siber dan Jabatan Siasatan Ibu Pejabat Polis Perbandaran Szczecin baru-baru ini menyerbu kediaman suspek dan merampas beberapa peranti serta media penyimpanan data yang dipercayai digunakan dalam tindakan membuat tempahan piza palsu yang menyebabkan kerugian besar itu.
Jika didapati bersalah, lelaki berusia 23 tahun itu berdepan hukuman penjara sehingga lapan tahun.
Sementara itu, penyiasat masih berusaha mengenal pasti motif suspek melakukan perbuatan berkenaan.
