“Saya bangga kalah dengan orang yang terbaik” -Bekas ADUN DAP Duyong puji YB Helmy

“Saya bangga kalah dengan orang yang terbaik” -Bekas ADUN DAP Duyong puji YB Helmy

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Duyong, Damian Yeo Shen Li mengakui Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem sebagai wakil rakyat yang terbaik, meskipun beliau tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) itu dengan hanya kira-kira 200 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021.

Bangga tewas dengan individu terbaik

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Damian yang menjadi wakil rakyat Duyong antara 2018 hingga 2021 menyatakan, beliau tidak pernah kesal dengan keputusan berkenaan, malah berbangga tewas kepada individu yang disifatkannya berjaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya bangga kalah dengan orang yang terbaik,” luah Damian.

“Saya bangga kalah dengan orang yang terbaik” -Bekas ADUN DAP Duyong puji YB Helmy

YB Helmy pantas turun padang

Menurut Ketua Biro Ekonomi DAP Melaka itu, Mohd Noor Helmy dilihat pantas turun padang hingga ke akar umbi dalam menyelesaikan masalah rakyat, menyebabkan mana-mana calon daripada parti selain BN berdepan tugas mencabar untuk merampas kerusi DUN Duyong pada PRN akan datang.

“(Datuk) Helmy melakukan yang terbaik. Dia seorang yang pantas turun padang hingga ke akar umbi menyelesaikan masalah rakyat. Saya tidak fikir akan ada pemimpin lain yang sebaik Helmy ketika ini.
“Bagi saya semua orang ada peluang untuk menjadi wakil rakyat di DUN Duyong tetapi kena letak calon yang bukan calang-calang untuk bertanding di kawasan tersebut,” katanya lagi.

Damian turut berkongsi pandangan kepada bakal calon yang mahu bertanding di DUN Duyong, antaranya perlu pantas mengenal pasti masalah rakyat terutama ketika bencana alam.

“Dengan kata lain sebelum netizen memberi komen di media sosial, bakal calon itu telah ada di kawasan bencana,” katanya dengan nada berseloroh.

Duyong perlu wakil yang hebat

Beliau menambah, calon juga perlu merendah diri ketika mendekati rakyat tanpa mengira peringkat dan masa, selain usaha kebajikan seharusnya sudah dilakukan sejak lebih setahun sebelum pilihan raya.

Susulan itu, Damian menasihati mana-mana calon yang mahu bertanding sebagai calon payung terjun di DUN Duyong supaya melupakan hasrat berkenaan sekiranya tidak mempunyai ciri-ciri diperlukan.

“Semua kerja-kerja berkenaan telah dilakukan oleh Helmy sejak hari pertama dia menjadil wakil rakyat.
“Jika pencabar tiada ciri-ciri saya harap lupakan sahaja hasrat untuk bertanding,” jelasnya.

Dalam hantaran Facebook sebelum ini, Damian turut menyifatkan Mohd Noor Helmy sebagai individu yang disenangi rakyat, mudah didekati dan sentiasa merendah diri.

“Malah, jika diketepikan soal politik dan warna parti, dan saya hanyalah seorang pengundi biasa yang menilai calon secara objektif, secara peribadi saya sendiri akan mengundi beliau.
“Gembira dapat bertemu dan berbual kembali dengan YB. Ketepikan politik, persahabatan dan rasa saling menghormati tetap kekal,” ujarnya.

Pada PRN Melaka 2021, Damian tewas kepada Mohd Noor Helmy dengan perbezaan sekitar 200 undi.

Sumber: Malaysia Gazette (Yusri Sahat), Facebook Damian Yeo 

Scroll to Top