MELAKA: Seorang wanita yang pernah melalui pengalaman pahit melahirkan anak ketika menjalani hukuman penjara bertekad tidak mahu kembali ke sebalik tirai besi selepas diberi peluang kedua menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) hari ini.
Wanita berusia 32 tahun itu berkata, pengalaman itu menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya sekali gus menguatkan tekad meninggalkan kegiatan menjual dadah yang pernah dilakukannya.
Katanya, dia ditahan pada November tahun lalu ketika kandungannya berusia tiga bulan sebelum dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun.
“Saya bersyukur sangat kerana mendapat kelepasan PBSL ini. Saya dapat membesarkan anak saya di luar, bukan di dalam penjara. Saya berterima kasih kerana diberikan peluang untuk mengubah kehidupan dan membesarkan anak saya di luar,” katanya.
Dia ditemui pemberita selepas Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Madani Yakin, sempena sambutan Kemerdekaan Negara Malaysia Ke-69 Peringkat Jabatan Penjara 2026 di Kompleks Penjara Melaka, Sungai Udang, di sini hari ini.
Wanita dari Jempol, Negeri Sembilan itu berkata, anak yang dilahirkan ketika berada di penjara itu kini menjadi pendorong utama untuknya berubah dan tidak mengulangi kesilapan lalu.
“Saya kasihan kepada anak saya. Saya mahu dia membesar seperti kanak-kanak lain di luar bukan membesar di dalam penjara,” katanya.
Mengimbas penglibatannya dalam kegiatan menjual dadah, wanita berkenaan mengakui sudah lama terbabit dalam kegiatan itu namun sebelum ini tidak mempunyai kesungguhan untuk berubah.
Katanya, dia terjebak dalam kegiatan berkenaan selepas dipengaruhi bekas suaminya sebelum berkahwin dengan suaminya sekarang.
“Saya terlibat sudah lama, cuma sebelum ini belum ada rasa untuk berubah. Bila saya masuk penjara dan mengandung serta melalui pengalaman melahirkan anak di sini, ia membuatkan saya sedar dan sudah serik dan tidak mahu masuk penjara lagi.
“Saya sekarang hanya berdoa supaya Allah kuatkan hati saya untuk terus berubah. Saya tidak mahu lagi masuk penjara,” katanya.
Wanita itu berkata, sebelum ini dia pernah menjalani hukuman di Penjara Kajang atas kesalahan sama namun hukuman kali ini merupakan yang paling lama pernah diterimanya. – UTUSAN

