Netizen 'tawar khidmat' jika KL City tak cukup pemain lawan Kuching City

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kalau nak datang bawak but. Kot boleh main kalau tak cukup pemain.”

Demikian antara ribuan komen penyokong bola sepak Kuala Lumpur City FC (KL City) menjelang aksi Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, malam ini.

Usikan itu susulan isu membabitkan skuad The City Boys yang kini hanya mempunyai seramai 12 pemain berdaftar dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sekali gus menimbulkan persoalan tentang persediaan bekas juara Piala Malaysia 2021 itu untuk menghadapi Kuching City.

Malah, berdasarkan tinjauan Arena Metro, difahamkan kemungkinan KL City hanya akan beraksi dengan 10 pemain malam ini ekoran dua lagi pemain yang tidak cergas untuk diturunkan dalam aksi itu nanti.

Begitupun, skuad kendalian Datuk Dollah Salleh tiada pilihan lain apabila terpaksa beraksi bagi mengelakkan pasukan daripada menerima hukuman selepas pada Sabtu lalu tidak beraksi menentang Negeri Sembilan FC di Paroi.

Akhirnya Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mendenda KL City dengan nilai RM50,000 dan kemenangan 3-0 diberikan kepada skuad Hobin Jang Hobin.

Di media sosial, penyokong KL City sempat mengusik pasukan dengan pelbagai komen termasuk mahu membawa kasut bola ke stadium malam ini untuk mengisi kekosongan pemain.

“Nak pakai orang bagi tau, boleh la habuan bagi cukup orang,” tulis Ejai Jamil di ruangan komen Facebook KL City FC.

Seorang lagi peminat, Syafiq Abu pula mahu satu senarai pemain dibuka dalam aplikasi WhatsApp bagi diisi oleh penyokong yang mahu beraksi.

“Open WhatsApp admin. Duit kita tong tong ah. Janji player cukup, hahahahahaa,” kata Syafiq Abu.

Fauzy Aualudin pula bersedia untuk beraksi sebagai penjaga gol jika posisi itu masih kosong.

“Penjaga gol ada tak? Saya sedia sahaja ini, rumah pun sebelah stadium. Tak da hal lah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top