KAHERAH – Iran menyambung semula rundingan dengan Oman bagi menguruskan Selat Hormuz ketika berdepan tekanan ekonomi yang semakin meningkat daripada Amerika Syarikat (AS).
Teheran dan Muscat terlibat sesi dialog secara berselang-seli sejak beberapa minggu lalu bagi membincangkan kawalan lalu lintas di perairan strategik itu.
Kedua-dua negara dilaporkan bersetuju menubuhkan koridor sementara melalui selat tersebut dan menjalankan operasi bersama pembersihan periuk api.
Menerusi kenyataan bersama, rundingan teknikal akan diteruskan bagi menentukan koridor kekal dan pentadbiran masa depan Selat Hormuz termasuk mekanisme perkongsian maklumat, pengurusan trafik serta penyediaan perkhidmatan pelayaran dan keselamatan yang berkaitan.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, rangka kerja yang dicadangkan itu merupakan contoh jelas komitmen mereka terhadap keamanan dan kestabilan selain menunjukkan usaha diplomasi berterusan dengan negara jiran.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi memberi amaran tiada kapal tentera dibenarkan melalui Selat Hormuz.
“Kami menutup sepenuhnya laluan itu sebelum AS mengenakan sekatan ekonomi terbaharu kerana Washington gagal memenuhi komitmennya di bawah memorandum persefahaman (MoU),” tegasnya.
Di Teheran, orang ramai bertindak menyerbu stesen minyak selepas pihak berkuasa mengumumkan kuota bahan api akan dikaji semula. – Agensi
