am@hmetro.com.my
Alor Setar: Bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan, guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Bohor, di sini, sanggup meluangkan masa selepas sesi persekolahan bagi menjahit Jalur Gemilang gergasi berukuran lapan meter lebar dan 20 meter panjang.
Guru Besar SK Bohor, Hazrina Harun berkata, projek itu tercetus hasil perbincangan bersama guru sebelum usaha itu mendapat sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Katanya, mereka mengambil masa lebih dua minggu bagi memotong dan menjahit kain bagi menghasilkan Jalur Gemilang berkenaan.
“Seramai 27 guru dan tujuh Anggota Kumpulan Pelaksana berganding bahu menyiapkan bendera ini. Mereka sanggup meluangkan masa selepas sekolah, malah ada yang membawa mesin jahit sendiri dan menyambung kerja di rumah.
“Proses menjahit bermula kira-kira jam 2 petang hingga 7 malam dan mengambil masa lebih dua minggu. Dianggarkan 400 meter kain digunakan dengan kos kira-kira RM1,000,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Pra Ambang Kemerdekaan Hari Kebangsaan dan peluncuran Jalur Gemilang gergasi di SK Bohor di sini, hari ini.
Hazrina berkata, penghasilan bendera berkenaan bukan sekadar untuk mencipta kelainan, sebaliknya menjadi simbol kedaulatan negara selain menyemarakkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan murid dan warga sekolah.
“Saya tidak mampu bergerak seorang diri tanpa sokongan guru. Komitmen yang diberikan sangat tinggi dan saya amat menghargai usaha mereka, terutama sebagai guru besar baharu di sekolah ini.
“Usaha ini juga membabitkan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sekali gus memberi peluang kepada semua warga sekolah menghayati semangat patriotisme,” katanya.
Beliau berkata, projek itu turut mengetengahkan kemampuan SK Bohor yang mempunyai 258 murid, termasuk 54 murid PPKI, walaupun sekolah berkenaan antara sekolah kecil di daerah Kota Setar.
Sementara itu, Guru Pra Sekolah PPKI SK Bohor, Mohd Tarmizi Rohani yang mengetuai projek berkata, ketelitian amat diperlukan bagi memastikan setiap bahagian bendera berkenaan dijahit dengan tepat, terutama bulan dan bintang 14 bucu.
“Bendera ini 100 peratus dijahit tanpa menggunakan cat. Ada guru membawa pulang helaian kain untuk disiapkan di rumah kerana mahu memastikan projek ini dapat diselesaikan mengikut tempoh ditetapkan.
“Ukuran dan kedudukan setiap bahagian perlu dibuat dengan teliti supaya hasil akhirnya kemas dan menepati reka bentuk Jalur Gemilang,”katanya.
Beliau berkata, kedudukan sekolah di laluan utama menuju pusat bandar raya dan hospital turut menjadikan bendera gergasi itu sebagai tarikan kepada pengguna jalan raya, sekali gus menyemarakkan suasana sambutan kemerdekaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

