Erma Fatima kembali mengarah filem lepas sedekad

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas lebih sedekad tidak menghasilkan naskhah filem, penerbit dan pengarah, Erma Fatima lebih selesa untuk memilih barisan pelakon yang pernah bekerjasama dengannya menerusi filem arahan terbaharunya yang berjudul Langit 2 Warna.

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 58, berkata dia tidak melihat pendekatan pemilihan pelakon yang dianggap ‘kronisme’ itu sebagai satu perkara yang besar.

“Sudah tentu kroni (memilih pelakon filem berkenaan). Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Zizi Kirana semua itu dah dianggap seperti adik saya, malah kami juga pergi belajar agama bersama-sama.

“Pemilihan mereka juga memudahkan kerja saya. Saya tidak mahu ada masalah membabitkan artis di set yang bersikap diva,” katanya ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan pelakon filem Langit 2 Warna di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Erma berkata karya hasil tulisannya itu turut menampilkan dua pelakon hebat dari Indonesia iaitu Christine Hakim dan Reza Rahadian.

Menurut Erma, dia tidak merancang untuk memilih Christine sejak awal meskipun pada awalnya dia hanya menghantar skrip filem berkenaan kepada aktres itu untuk bertanyakan pendapat.

“Saya kenal Christine sudah lama, tetapi tidak rancang untuk tawar dia berlakon dalam filem ini. Saya cuma hantar skrip kepada dia untuk dapatkan komen.

“Kemudian dia seakan beri bayangan mahu terlibat sama. Saya ubah skrip dan wujudkan watak untuk Christine.

“Reza pula memang tiada dalam senarai. Christine sendiri yang cadangkan nama Reza selepas baca cerita watak utama dalam skrip itu,” katanya lagi.

Sementara itu, Erma turut berkongsi hampir dua bulan diambil bagi mendapatkan persetujuan Reza sebelum dia bersetuju untuk melakonkan filem berkenaan.

“Disebabkan Reza sudah setuju, saya tangguh penggambaran ke November meskipun pada awal perancangan (penggambaran) bermula Jun,” ujarnya.

Filem Langit 2 Warna turut menampilkan Ummi Nazeera selaku pelakon utama selain barisan pelakon senior seperti Eman Manan, Datuk Tarmimi Siregar dan Datin Seri Umie Aida.

Langit 2 Warna mengangkat tema kekeluargaan, percintaan dan agama itu bakal menjalani penggambaran di tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Mesir bermula November depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top