Ustaz Lah mengaku tak bersalah pecah amanah RM13 juta wang NGO

SEREMBAN: Seorang pempengaruh agama didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 34 pertuduhan pecah amanah wang milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah lebih RM13 juta.

Tertuduh, Abdullah Abdol Razak, 40, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Lah bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mengikut 34 pertuduhan berkenaan, tertuduh selaku ejen iaitu Pengerusi Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (PRIM) didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap dana milik pertubuhan itu berjumlah RM13,847,535.89 yang diamanahkan kepadanya.

Tertuduh didakwa secara tidak jujur melepaskan harta berkenaan dengan melanggar Fasal 10 Perlembagaan PRIM yang menetapkan cara amanah tersebut perlu disempurnakan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan meluluskan pembayaran wang berkenaan ke beberapa akaun bank, termasuk akaun miliknya sendiri, tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 28 Februari 2023 hingga 31 Mac 2026 di sebuah bank di daerah ini.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Abdullah turut berdepan 17 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.56 juta daripada beberapa akaun bank termasuk miliknya, ke beberapa akaun bagi tujuan pembayaran pembelian emas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 18 Mei 2024 hingga 24 Februari 2026 di lokasi sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan jaminan RM700,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia berusia lebih 21 tahun selain tertuduh menyerahkan pasport serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan secara langsung atau melalui pihak ketiga.

Dalam prosiding sama, Setiausaha PRIM, Noor Sahira Abdullah, 30, turut didakwa bersubahat dengan Abdullah melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta PRIM.

Tertuduh didakwa dengan sengaja membantu Abdullah membuat pemindahan wang berkenaan melalui perbankan dalam talian ke beberapa akaun bank tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 24 April 2023 hingga 28 Mac 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 409 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Scroll to Top