TEHERAN: Serangan peluru berpandu dan dron Iran menyebabkan ‘kemusnahan luar biasa’ terhadap kemudahan risikan dan peralatan pengawasan Amerika Syarikat (AS) di seluruh Asia Bara yang mencecah kos berbilion dolar.
Menurut laporan NBC News yang memetik empat sumber, serangan tersebut merosakkan bangunan dan peralatan pengumpulan risikan yang digunakan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan agensi perisikan AS lain.
Kos kewangan akibat kerosakan itu dijangka mencecah berbilion dolar bagi membaiki atau menggantikan infrastruktur yang terjejas, sekali gus menjadi kerugian paling besar dalam sejarah kemudahan perisikan AS.
Laporan terdahulu sepanjang konflik itu merekodkan serangan meluas terhadap pangkalan tentera AS di beberapa negara, termasuk kerosakan pada radar, infrastruktur komunikasi satelit, hangar, landasan dan aset lain.
Penilaian berdasarkan imej satelit menunjukkan berpuluh-puluh struktur dan peralatan tentera AS terkena serangan, termasuk beberapa sistem bernilai tinggi seperti radar pertahanan peluru berpandu canggih.
Anggaran kos membaiki dan menggantikan kemudahan AS yang terjejas di rantau itu sebelum ini adalah antara AS$2 bilion (RM8 bilion) hingga lebih RM5 bilion (RM20 bilion), walaupun angka tersebut sebahagian besarnya melibatkan infrastruktur ketenteraan dan bukan kemudahan risikan.
Pegawai Pentagon sebelum ini berkata, anggaran rasmi kos perang biasanya tidak merangkumi keseluruhan kos pembinaan semula.
Penilaian terbaharu itu menunjukkan kemudahan risikan dan pengawasan AS di rantau itu mudah menjadi sasaran serangan balas Teheran, walaupun tentera AS terus melancarkan serangan besar-besaran terhadap sasaran di Iran.
Ketegangan di Asia Barat meningkat sejak 28 Februari selepas AS dan Israel melancarkan serangan ketenteraan terhadap Teheran mendorong Iran bertindak balas ke atas aset Amerika di seluruh Asia Barat.
Konflik tersebut berlarutan selama berbulan-bulan dengan pertempuran menjejaskan keselamatan serantau serta mengancam infrastruktur penting.
Iran dan AS menandatangani memorandum persefahaman pada pertengahan Jun melalui pengantaraan Pakistan bagi menamatkan konflik dan mencapai perjanjian damai berkekalan.
Bagaimanapun, rundingan itu terhenti susulan pertikaian berhubung terma memorandum berkenaan dan isu hak pelayaran di Selat Hormuz, laluan penting bagi eksport tenaga dunia.
Kegagalan rundingan berlaku ketika kedua-dua pihak terus melancarkan serangan antara satu sama lain di seluruh rantau, meskipun terdapat usaha diplomatik untuk meredakan konflik.
AS pada Isnin turut menguatkuasakan sekatan ekonomi baharu terhadap Iran sebagai usaha meningkatkan tekanan terhadap Teheran bagi ‘memaksanya’ untuk tunduk kepada Washington menandatangani perjanjian damai, dengan menyasarkan rangkaian kewangan dan sektor strategik negara itu.

