hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pendaki profesional yang juga anggota pasukan khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa dilaporkan gagal dihubungi susulan kejadian banjir besar yang melanda Nepal, semalam.
Mohd Fakhrul yang lebih mesra disapa sebagai Loe dalam kalangan penggiat sukan lasak merupakan figura berpengalaman yang berkecimpung dalam aktiviti pendakian dan sukan ekstrem selama hampir 25 tahun.
Difahamkan, Loe berada di negara berkenaan bersama beberapa ahli kumpulan lain bagi menjayakan misi ekspedisi pendakian sebelum bencana alam itu melanda kawasan berkenaan.
Isteri mangsa yang enggan dikenali mengesahkan belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung status mahupun keadaan keselamatan suaminya.
Dia turut memohon ruang daripada pihak media kerana belum bersedia untuk memberikan kenyataan lanjut berhubung insiden berkenaan.
Sepanjang pembabitannya dalam sukan lasak, anggota JBPM itu mempunyai rekod pendakian yang amat mengagumkan di peringkat antarabangsa.
Antara puncak dan kawasan pergunungan terkemuka yang pernah ditawan termasuklah Everest Base Camp dan Annapurna Base Camp di Nepal, Gunung Fansipan di Vietnam, Gunung Damavand serta Gunung Alam Kouh di Iran, Gunung Siguniang di China, Gunung Kosciuszko di Australia, Gunung Fuji di Jepun dan Gunung Von Bulow di New Zealand.
Semalam, Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Kathmandu Mohd Firdaus Azman memaklumkan lebih 50 rakyat Malaysia di Nepal gagal dihubungi oleh ahli keluarga susulan banjir dahsyat yang turut menyebabkan ratusan penduduk tempatan dan warga asing belum diketahui nasib mereka.
“Kami masih mengumpul maklumat mengenai rakyat Malaysia yang tidak dapat dihubungi.
“Ahli keluarga gagal menghubungi lebih 50 rakyat Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

