Matrix Concepts sasar jualan hartanah RM1.8 bilion

Kuala Lumpur: Matrix Concepts Holdings Bhd menyasarkan jualan hartanah baharu sebanyak RM1.8 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (FY2027), meningkat daripada rekod RM1.5 bilion pada FY2026.

Sasaran itu akan disokong pelancaran projek baharu bernilai RM2 bilion di Negeri Sembilan, Lembah Klang dan Johor, seiring peluasan jejak geografi kumpulan.

Prestasi awal FY2027 turut menunjukkan momentum positif apabila jualan hartanah baharu bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026 meningkat 9.2 peratus kepada rekod RM416.7 juta.

Pendapatan kumpulan bagi tempoh sama meningkat 11 peratus tahun ke tahun kepada RM315.6 juta, manakala jualan belum dibilkan berjumlah RM1.5 bilion setakat akhir Jun.

Jualan belum dibilkan itu memberikan keterlihatan pendapatan untuk tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang.

Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, keyakinan kumpulan bagi FY2027 disokong perniagaan sedia ada, rangkaian pembangunan serta peningkatan sumbangan daripada sumber pendapatan baharu dan berulang.

“Berdasarkan latar belakang ini, kami berada pada kedudukan kukuh untuk mencapai sasaran jualan RM1.8 bilion, yang mewakili satu lagi langkah ke hadapan daripada rekod yang dicapai pada FY2026,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, kumpulan berhasrat membangunkan Matrix Concepts sebagai kumpulan hartanah yang lebih besar, pelbagai dan berdaya tahan, selain terus memperkukuh kedudukan kompetitifnya.

Dalam strategi pertumbuhannya, Sendayan Developments kekal sebagai penyumbang pendapatan paling signifikan kumpulan, dengan kadar pengambilan hartanah secara konsisten melebihi 80 peratus.

Pada masa sama, MVV City yang dibangunkan bersama kerajaan Negeri Sembilan muncul sebagai pemacu pertumbuhan baharu.

Pembangunan bersepadu seluas 2,382 ekar itu mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM15 bilion, merangkumi komponen perindustrian, kediaman dan komersial.

Presint perindustriannya, MVV TechValley, mencatat minat pasaran yang kukuh sejak dilancarkan, dengan Matrix Concepts merancang memberi tumpuan kepada pembangunan perindustrian sebelum beralih secara berperingkat kepada komponen kediaman dan komersial.

Matrix Concepts juga sedang memperluaskan kehadirannya di Lembah Klang yang dijangka menyumbang kira-kira 20 hingga 25 peratus daripada jualan kumpulan dari semasa ke semasa.

Portfolio berkenaan merangkumi Puchong, Kota Warisan serta koridor Sepang dan Banting, manakala kumpulan menjangkakan sumbangan pendapatan dari luar Negeri Sembilan melebihi 30 peratus dalam jangka panjang.

Selain pembangunan hartanah, kumpulan turut memperluaskan sumber pendapatan berulang menerusi segmen lain termasuk hartanah sewaan, hospitaliti, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Di Melbourne, Australia, penukaran M333 St Kilda kepada aset bina-untuk-sewa sudah mencapai kadar penghunian penuh dan menjana kira-kira AUD2 juta keuntungan sebelum cukai setahun.

Kumpulan turut merancang melancarkan Matrix Medical Centre Sendayan pada 2027 serta membangunkan pusat penjagaan kejururawatan berkapasiti 130 katil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top