hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lelaki mati akibat terjatuh daripada sebuah bangunan kediaman di Jalan Lembah Pantai, di sini, semalam, selepas dikatakan cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Terdahulu, lelaki berusia 24 tahun itu dilaporkan bertindak agresif di rumahnya.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima panggilan daripada ibu lelaki itu, jam 10.57 malam, yang meminta bantuan polis kerana dia bertindak agresif.
Bagaimanapun, katanya, sebaik polis tiba di lokasi, lelaki terbabit sudah pun melarikan diri ke hujung bangunan untuk turun daripada tingkat 11 ke tingkat 10.
“Mangsa melompat ke tingkat 10 dan terjatuh ke bahagian bawah bangunan sebelum disahkan mati di lokasi oleh pegawai perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya pada kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan, lelaki terbabit mempunyai tiga rekod lampau membabitkan dadah.
© New Straits Times Press (M) Bhd

