Kuala Lumpur: Anak syarikat Petronas Dagangan Bhd, Setel Ventures Sdn Bhd (Setel) telah melaksanakan langkah-langkah pemulihan yang diperlukan untuk menangani jurang yang dikenal pasti dalam dapatan kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).
Selain itu, syarikat itu juga turut memperkukuh lagi proses dan kawalan dalamannya, demikian menurut Petronas Dagangan dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu Setel secara proaktif melaporkan penemuan ini kepada BNM dan sejak itu sentiasa mengadakan libat urus dengan pengawal selia sepanjang proses semakan.
“Perkara-perkara itu berkaitan dengan perkara yang dikenal pasti melalui semakan dalaman Setel pada akhir 2023. Yang penting, perkara-perkara ini tidak melibatkan sebarang transaksi pelanggan atau memberi kesan kepada dana pelanggan,” maklum kenyataan itu.
Petronas Dagangan juga memaklumkan Setel dikawal selia oleh BNM sebagai pengeluar wang bukan ekektronik dan komited untuk mematuhi sepenuhnya keperluan kawal selia dan mendukung keyakinan dan kepercayaan pelanggan serta pemegang kepentingannya.
Menurut laporan semalam, BNM mengenakan penalti monetari pentadbiran (AMP) sebanyak RM637,000 ke atas Setel pada 15 April 2026 kerana gagal mengemas kini pangkalan data sekatannya dengan segera setelah Senarai Domestik diterbitkan.
Bank pusat memaklumkan ketidakpatuhan itu disebabkan oleh jurang dalam prosedur operasi standard (SOP) Setel dan sistem penapisan sekatan.
Pada 6 Mei, Setel telah membayar RM637,500 AMP yang dikenakan ke atasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
