Midnight Fusic optimis sokongan peminat

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Kumpulan Midnight Fusic akur dengan penangguhan Konsert Soundstage yang sepatutnya berlangsung pada 16 Ogos lalu diubah kepada tarikh baharu iaitu Oktober atau November depan.

Vokalisnya, Arif Kamarudin, 25, mengakui walaupun ada sedikit kekecewaan terhadap apa yang berlaku, namun Midnight Fusic tetap percaya dan yakin semuanya adalah ketentuan Yang Esa.

“Memang ada sedikit kecewa kerana rasa sayang sebenarnya memandangkan ‘vanue’ persembahan itu di Unifi Arena, Bukit Jalil yang juga salah satu lokasi Impian kami untuk dapat peluang beraksi di situ.

“Bagaimanapun, kami faham perkara sebegini sukar dijangka dan terima sahajalah apa berlaku. Apatah lagi, ia hanya ditunda kepada satu tarikh baharu yang mungkin lebih sesuai lagi.

“Cuma, kenapa konsert itu ditangguhkan pada tarikh baharu, saya pun tidak tahu sebab sebenarnya. Mungkin juga belum ada rezeki kami bermain untuk bermain pada tarikh ditetapkan sebelum ini,” katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Midnight Fusic ditemui hadir pada sidang media Panggung Sandiwara: FUGO & Midnight Fusic yang akan berlangsung pada 17 Oktober depan di Odeon KL anjuran Rockstation.

Arif atau nama sebenar, Raja Arif Aizuddin Raja Kamarudin juga memaklumkan ini antara realiti yang perlu diterima Midnight Fusic sebagai penggiat industri seni walaupun aktif secara ‘indie’.

Katanya lagi, dia bersama anggota Midnight Fusic lain bagaimanapun sudah dimaklumkan bahawa Konsert Soundstage itu dijangka berlangsung pada tarikh baharu sebelum hujung tahun nanti.

Menyentuh penjualan tiket Panggung Sandiwara: FUGO & Midnight Fusic pula, Arif tidak menafikan ada berasa bimbang mengenainya berikutan terdapat beberapa konsert penyanyi terkenal lain pada tarikh sama.

“Apapun, kami tetap optimis terhadap sokongan peminat Midnight Fusic serta FUGŌ. Bahkan, saya juga yakin tiket persembahan kami mampu mendapat sambutan baik sebagaimana OAG dan The Times.

“Ditambah, Panggung Sandiwara: FUGO & Midnight Fusic adalah malam khas untuk dua kumpulan menghiburkan peminat masing-masing secara serentak yang berlangsung sekali dan eksklusif,” katanya.

Menurut Arif, dengan harga tiket berpatutan diharapkan peminat Midnight Fusic dan FUGO tidak melepaskan peluang untuk meraikan persembahan istimewa dengan pelbagai lagu-lagu menarik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top