am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Tiga lelaki cedera sejurus dua kereta bertembung di Jalan Padang Keladi, Kampung Padang Keladi, Durian Tunggal, di sini.
Difahamkan kejadian berlaku apabila kereta Proton Satria dinaiki dua lelaki memasuki lorong bertentangan dan dilanggar kereta Perodua Bezza.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.05 malam tadi.
Beliau berkata, sepasukan empat anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh tiba di lokasi pada 10.18 malam.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan Proton Satria dan Perodua Bezza.
“Proton Satria dinaiki dua lelaki Melayu berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan di kepala dan kaki, manakala pemandu Perodua Bezza, lelaki Melayu berusia 22 tahun mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkan mereka kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semua mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Dalam kejadian berasingan, sebuah replika kapal di hadapan sebuah hotel di Bukit Katil di sini terbakar kira-kira 90 peratus dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam,.
Mohd Hafidzatullah berkata, seramai tujuh anggota bomba dari BBP Bukit Katil terbabit operasi memadam kebakaran itu.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.16 petang dan operasi ditamatkan jam 6.03 petang dengananggaran peratusan kebakaran adalah 90 peratus.
“Setakat ini punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
