Hati berbolak-balik nak sambung belajar kerana kemiskinan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Hasrat Nur Atikah A’iesyah Azman untuk menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) tercapai apabila ditawarkan ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Bagaimanapun rasa teruja apabila menerima surat tawaran itu baru-baru ini terhenti sebaik melihat kos pengajian yang tidak mampu ditanggung keluarga.

Nur Atikah, 20, berkata, setakat kini, hanya yuran pendaftaran sebanyak RM900 sahaja yang sudah dilangsaikan dan itu pun hasil derma daripada beberapa masjid manakala yuran pengajian sebanyak RM2,225 masih belum dibayar.

“Memang sangat gembira apabila terima surat tawaran tapi sebaik melihat yuran pendaftaran dan pengajian yang agak besar, rasa teruja itu hilang.

“Hati saya berbolak-balik antara ingin sambung pengajian dengan menolak tawaran, tapi ibu nasihatkan saya terima sambil memujuk serahkan semua pada Allah.

“Selain impian saya, tawaran ini juga sangat bermakna buat keluarga memandangkan saya insan pertama dalam keluarga bakal jejakkan kaki ke universiti,” katanya yang kematian bapa sejak empat tahun lalu itu.

Nur Atikah berkata, dia menerima tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda dalam kursus Pengurusan Komuniti dengan Keusahawanan Sosial (Kepujian).

Dia berkata, tiga adiknya yang masih bersekolah bergantung kepada ibu, Wan Aida Wan Mohd Yusoff, 51, yang bekerja di kedai makan dengan upah sebanyak RM50 sehari namun bukan setiap hari dapat hadir bekerja kerana wanita itu mengalami masalah kesihatan.

Sementara itu, Wan Aida berkata, kemiskinan juga menyebabkan seorang daripada anaknya, Muhammad Adam Muhaimi, 15, terpaksa berhenti sekolah selama dua tahun bagi memberi laluan buat Nur Atikah menyambung persekolahan hingga ke Tingkatan Enam.

“Dalam tempoh tidak bersekolah itu, Adam dihantar ke sebuah pondok di sini sebelum kembali bersekolah tahun ini memandangkan Nur Atikah sudah tamat sekolah.

“Bagaimanapun saya perlu menanggung tiga lagi anak termasuk di Tingkatan Enam serta Tahun Dua. Selain upah bekerja di kedai makan, saya juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan.

“Saya meminta Atikah terima dulu tawaran pengajian itu dan nanti kami sama-sama fikirkan cara cari wang untuk bayar yuran dan buat persediaan sikit sebanyak sebelum mendaftar pada 20 September ini,” katanya.

Terdahulu mereka menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang diketuai Presidennya, Aiman Yusri Mohd Yusof.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Nur Atikah di talian 0196278230 atau membuat sumbangan di Akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya iaitu 0301041000160894.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top