Kathmandu: Ketika banjir besar melanda Nepal dan penduduk berdepan detik mencemaskan, tindakan pantas anggota Tentera Nepal menyelamatkan sepasang bayi kembar yang baru berusia beberapa hari mencuri perhatian ramai, lapor NDTV India.
Bayi berkenaan berdepan bahaya selepas terperangkap ketika banjir yang melanda Khamis lalu sebelum anggota tentera tiba di lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
Dalam keadaan mencabar, anggota tentera berjaya menyelamatkan kedua-dua bayi berkenaan daripada bahaya dan memberi mereka peluang untuk terus hidup.
Video operasi menyelamat itu kini tular di media sosial, memaparkan dua anggota tentera wanita masing-masing memangku kedua-dua bayi berkenaan.
Ketika bayi terbabit terpisah daripada pangkuan ibu mereka akibat bencana itu, anggota tentera berkenaan bukan sahaja bertindak sebagai pelindung, malah memberikan sentuhan penuh kasih sayang kepada kedua-duanya.
Rakaman itu mendapat perhatian ramai kerana memperlihatkan sisi kemanusiaan anggota tentera ketika menjalankan tugas dalam situasi bencana.
Banjir besar yang melanda Nepal turut memusnahkan kediaman dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk, terutama mereka yang masih berusaha mencari ahli keluarga masing-masing.
Menurut agensi berita IANS, beberapa warga India turut dilaporkan hilang susulan bencana banjir di Nepal.
Susulan itu, Kementerian Luar India menubuhkan bilik kawalan khas yang beroperasi 24 jam bagi menyalurkan bantuan dan maklumat kepada warga India yang terjejas atau terperangkap di Nepal serta keluarga mereka.
Kementerian berkenaan turut menggesa orang ramai menghubungi bilik kawalan itu sekiranya berlaku sebarang kecemasan berkaitan banjir di Nepal.
Kedutaan India di Kathmandu turut menyediakan nombor telefon kecemasan yang boleh dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, manakala Kementerian Luar India turut berkongsi nombor talian bantuan pelbagai pihak berkuasa Nepal bagi memudahkan urusan mendapatkan bantuan tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
