Pengumuman elaun Tingkatan Enam berita paling dinantikan – Fadhlina

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Pengumuman berkaitan peruntukan elaun bagi pelajar Tingkatan Enam disifatkan berita yang amat dinantikan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata cadangan berkenaan elaun berkenaan telah dikemukakan kepada pihaknya dan diperjuangkan sejak beliau mengemudi Kementerian Pendidikan (KPM).

“Pertama, saya rakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pengumuman berkaitan dengan elaun Tingkatan Enam.

“Ini adalah berita yang ditunggu-tunggu. Saya fikir perjuangan untuk mendapatkan elaun ini telah pun kami kemukakan sejak awal saya menjadi Menteri Pendidikan dan Alhamdulillah, untuk bajet kali ini, belanjawan (2027), ia akan menjadi kenyataan,” katanya ketika diminta mengulas berhubung pengumuman dibuat Anwar.

Terdahulu, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk meluluskan peruntukan dan elaun berkaitan pelajar Tingkatan Enam pada pembentangan Belanjawan 2027, Oktober ini ketika berucap pada Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka Sahabat Madani di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, beliau juga telah menerima 12 resolusi yang diterima daripada Kongres Prauniversiti Madani Peringkat Kebangsaan, termasuk cadangan berkaitan pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam.

Katanya, beliau mahu memastikan semua resolusi itu dapat dilaksanakan dengan baik.

“Dalam 12 resolusi itu, salah satu yang diangkat oleh perwakilan Tingkatan Enam adalah berkenaan elaun untuk anak-anak Tingkatan Enam.

“Jadi, saya terima sepenuhnya anak-anak (resolusi itu) yang kita akan tambah baik resolusi itu dan kita sedang mencari jalan bagaimana kita boleh memastikan 12 resolusi itu akan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pemberian elaun itu adalah antara reformasi penting dalam pendidikan, khususnya bagi menjaga kebajikan dan memartabatkan pelajar prauniversiti KPM.

“Jadi, saya rakamkan ucapan terima kasih. Ini adalah antara saya fikir reformasi penting dalam pendidikan, khususnya untuk menjaga kebajikan dan memartabatkan pelajar prauniversiti KPM,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top