Persidangan Masjid Serantau himpun 400 perwakilan, kembali kegemilangan Rumah ALLAH

IPOH – Persidangan Masjid Serantau 2026 yang menghimpunkan kira-kira 400 perwakilan masjid dari Malaysia dan negara-negara serantau menjadi platform mengembalikan kegemilangan masjid sebagai institusi strategik dalam pembangunan ummah.

Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, persidangan selama dua hari bermula Sabtu hingga Ahad di Hotel Casuarina@Meru itu dianjurkan MAPIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menurutnya, persidangan sempena Hari Masjid Sedunia itu disertai perwakilan dari Indonesia, Singapura, Brunei, Timor-Leste, Myanmar, Kemboja, Thailand dan Vietnam selain Turkiye, Iran serta Pakistan.

“Persidangan ini bertujuan memperkukuhkan peranan masjid sebagai institusi strategik dalam pembangunan ummah, kebajikan masyarakat, perpaduan umat Islam serta pembelaan isu kemanusiaan global khususnya Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

“Hari Masjid Sedunia pada 21 Ogos setiap tahun mengingatkan kita kepada tragedi pembakaran Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos 1969. Bagi MAPIM, peringatan ini tidak wajar sekadar menjadi acara simbolik tahunan, sebaliknya perlu menjadi momentum menghidupkan kembali fungsi masjid sebagai pusat kekuatan umat,” katanya pada sidang media Persidangan Masjid Serantau 2026 di sini pada Jumaat.

Mohd Azmi berkata, persidangan berkenaan mempunyai tujuh objektif termasuk memperkasa peranan masjid dalam pembangunan ummah, membina jaringan kerjasama masjid serantau serta menggalakkan penglibatan masjid dalam pendidikan, kebajikan, ekonomi dan pembangunan generasi belia.

Katanya, ia turut memberi penekanan terhadap usaha membina kesedaran dan tindakan bersama mengenai isu Palestin serta Al-Aqsa selain membentuk platform kerjasama antara masjid, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, institusi dakwah dan organisasi kemanusiaan.

“Persidangan ini akan merumuskan Deklarasi dan Pelan Tindakan Masjid Serantau yang boleh dilaksanakan selepas persidangan.

“Konsep yang kita bawa ialah daripada masjid kepada jaringan ummah, daripada kesedaran kepada tindakan dan daripada solidariti kepada gerakan bersama,” katanya.

Mohd Azmi berkata, antara pengisian persidangan termasuk forum masa depan masjid dan pembangunan ummah, pembentangan ilmiah, dialog antara negara, sesi jaringan serta perkongsian pengalaman.

Katanya, sesi khas Palestin dan Al-Aqsa serta perbincangan strategik jaringan masjid serantau turut diadakan sebelum resolusi dan deklarasi persidangan dirumuskan.

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, MAPIM menyasarkan kutipan RM1 juta dalam tempoh enam bulan bagi membiayai beberapa projek bantuan untuk Masjid Al-Aqsa.

Menurutnya, sasaran awal sebanyak RM200,000 ditetapkan menerusi Malam Makan Amal yang berlangsung pada Sabtu malam bagi membolehkan bantuan disalurkan segera.

“Kita mahu membantu empat madrasah di Masjid Al-Aqsa, menyokong kelompok Murabitun yang berada dan bergilir-gilir mempertahankan masjid itu, membaiki kerosakan serta membantu lima imam Masjid Al-Aqsa yang kini berdepan masalah penyelenggaraan dan kebajikan.

“Kita menyasarkan RM1 juta dalam tempoh enam bulan dan akan mengadakan roadshow di 10 bandar utama bermula September hingga selepas Aidilfitri bagi meningkatkan kesedaran mengenai Masjid Al-Aqsa dan Palestin,” katanya.

Beliau berkata, MAPIM turut mencadangkan supaya masjid-masjid di Perak mengadakan kutipan khas pada salah satu solat Jumaat untuk disalurkan kepada Tabung Masjid Al-Aqsa.

 

Scroll to Top