RM1.65 bilion belum cukup buat De Zerbi

London: Selepas berjaya menyelamatkan Tottenham Hotspur pada hari terakhir musim lalu, pengurus Roberto De Zerbi mencabar pemilik kelab supaya menyediakan pasukan impiannya untuk kempen seterusnya.

Dengan lebih £300 juta (RM1.65 bilion) dibelanjakan pada jendela perpindahan musim panas, selain barisan serangan diperkemaskan secara besar-besaran minggu lalu menerusi pembelian Savio dan Omar Marmoush dari Manchester City, hasrat De Zerbi itu akhirnya ditunaikan.

Kekalahan memalukan 0-3 kepada Brentford pada aksi pembukaan minggu lalu menunjukkan perbelanjaan besar bukan jaminan kejayaan segera, namun menjelang aksi di laman sendiri menentang Newcastle United, Ahad ini, De Zerbi menyatakan kepuasannya dan tidak menolak kemungkinan kelab membuat lebih banyak pembelian.

“Saya tidak menjangkakan jendela perpindahan seperti yang kami lalui,” kata De Zerbi yang menyertai Tottenham dengan hanya tujuh perlawanan berbaki musim lalu ketika kelab itu berada di ambang penyingkiran.

“Saya fikir kami mungkin boleh mendapatkan seorang lagi pemain untuk posisi tertentu. Semalam kami makan malam bersama pemilik, (pengarah sukan) Johan (Lange) dan ketua eksekutif Vinai (Venkatesham), dan kami bercakap mengenai perkara ini.

“Semua kami mempunyai pandangan yang sama dan hubungan yang sangat baik.”

Pemain sayap Brazil, Savio yang akhirnya diperoleh Tottenham dengan nilai £75 juta (RM414 juta), menjaringkan gol pada penampilan sulung ketika kemenangan 5-1 ke atas Charlton Athletic dalam saingan Piala Liga, Rabu lalu.

Dia dan pemain Mesir, Marmoush yang menyertai secara pinjaman sebelum perpindahan tetap bernilai £50 juta (RM276 juta) pada musim panas depan, dijangka mengetuai jentera serangan Tottenham menentang Newcastle.

“Pembelian yang hebat untuk kami, pemain yang hebat. Seorang lagi pemain hebat. Kami semua menyukainya sebagai pemain dan berharap dia dapat melakukan apa yang dia mampu,” kata De Zerbi mengenai Marmoush.

“Dia boleh memberikan kami lebih banyak pilihan dalam serangan. Kami memerlukan lebih ramai pemain di bahagian serangan yang mampu menjaringkan gol.

“Dia sangat pantas, bekerja keras dan sangat bijak. Dia berfikir seperti seorang jurulatih. Dia boleh bermain di beberapa posisi berbeza di atas padang.

“Saya rasa Savio dan Marmoush adalah ‘bomba’. Saya tidak tahu apa nama yang anda mahu berikan kepada mereka.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top