Peranan masjid, surau dekati masyarakat

Peranan masjid, surau dekati masyarakat

MASJID dan surau mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam dan ini dibuktikan dengan tindakan pertama yang dilakukan Rasulullah SAW ketika berhijrah ke Madinah ialah mendirikan masjid sekaligus menjadi pusat utama dalam urusan umat Islam.

ALLAH SWT memuliakan masjid dengan gelaran Baitullah (Rumah ALLAH) seperti dalam firman-NYA: “Di rumah-rumah yang diperintahkan ALLAH supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingati nama-NYA. Di situ juga dikerjakan ibadat menyucikan dan memuji-NYA pada waktu pagi dan petang.” (Surah an-Nur: 36)

Menurut Jabatan Mufti Pahang dalam khutbah Jumaat yang disediakan pihaknya baru-baru ini menyebutkan antara peranan utama masjid dan surau:

1 – Sebagai pusat ibadah

Masjid dibina secara khusus sebagai tempat utama umat Islam untuk mendirikan ibadah khususnya solat berjemaah.

Sabda Rasulullah SAW: “Tujuh golongan yang mendapat naungan daripada ALLAH pada hari tidak ada naungan kecuali naungan-NYA (antaranya) lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Demikian juga Abdullah bin Mas’ud RA mengingatkan bahawa: “Sesiapa yang ingin bertemu ALLAH esok hari sebagai seorang Muslim, maka hendaklah dia menjaga solat ini ketika diseru kepadanya. Dan sesungguhnya aku melihat keadaan kami (para sahabat Nabi) tidak ada yang meninggalkan solat berjemaah melainkan orang munafik yang nyata sifat munafiknya.”

Dalam masa yang sama ibadah lain seperti membaca al-Quran, beriktikaf, berzikir dan lain-lain turut digalakkan untuk dilakukan di masjid.

2 – Sebagai pusat pembangunan ilmu

Masjid telah menjadi sebagai pusat perkembangan ilmu sejak zaman Rasulullah SAW. Orang yang menuntut ilmu di masjid diberi ketenangan, diturunkan rahmat dan didoakan oleh para malaikat.

Peranan masjid, surau dekati masyarakat

AHLI jawatankuasa masjid perlu aktif melaksanakan pelbagai program agar masjid dapat diimarahkan semua lapisan masyarakat. Foto Bernama

Sabda Nabi SAW: “Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah ALLAH (masjid), mereka membaca kitab ALLAH (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka, melainkan akan turun kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat, dikelilingi para malaikat dan ALLAH menyebut mereka di hadapan makhluk yang berada di sisi-NYA.” (Hadis Riwayat Muslim)

3 – Sebagai pusat pembangunan sosial

Masjid juga menjadi tempat pertemuan ukhuwah umat Islam untuk saling mengenali, bantu-membantu dan menyayangi antara satu sama lain tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Sejarah kehidupan Abu Hurairah RA yang pernah tinggal di Masjid Nabawi sebagai Ahli Suffah yang hidup dalam keadaan serba kekurangan, namun beliau sentiasa disantuni Rasulullah SAW dan para sahabat serta masyarakat Islam.

Hal ini menjadi bukti wujudnya semangat kepedulian sosial dan ukhuwah yang tinggi dalam kalangan umat Islam sejak dahulu.

Mesra kanak-kanak, remaja, wanita dan OKU

Menurut Jabatan Mufti Pahang, masjid juga wajar berfungsi dengan aktiviti yang mesra kanak-kanak dan remaja supaya perasaan cintakan masjid dapat dipupuk lebih awal dalam diri mereka.

MASYARAKAT juga perlu memainkan peranan menyokong aktiviti yang diadakan pihak masjid. Foto Canva

MASYARAKAT juga perlu memainkan peranan menyokong aktiviti yang diadakan pihak masjid. Foto Canva

“Aktiviti yang melibatkan golongan wanita juga perlu diperhebatkan dan pendekatan yang bersesuaian bagi menyantuni golongan orang kelainan upaya (OKU) juga perlu mendapat perhatian.

“Usaha sebegini adalah demi memastikan institusi masjid terus relevan dan diwarisi oleh generasi akan datang.

“Antara faktor kejayaan sesebuah masjid ialah jawatankuasa masjid yang aktif merancang dan menguruskan program yang bermanfaat untuk seluruh lapisan masyarakat,” jelasnya.

Di samping itu ujar khatib, pihak institusi agama dan masyarakat juga hendaklah sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan dalam apa jua usaha pengimarahan masjid yang dilaksanakan.

“Marilah kita menjadikan masjid dan surau sebagai destinasi utama dalam kehidupan seharian agar setiap usaha mengimarahkannya diberi ganjaran pahala serta mendapat naungan ALLAH SWT di akhirat nanti,” pesannya.

JANGAN biarkan masjid dan surau sunyi daripada aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat. Foto Canva

JANGAN biarkan masjid dan surau sunyi daripada aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat. Foto Canva

 

Pengajaran daripada khutbah Jumaat:

1 – Masjid merupakan pusat ibadah utama, pusat penyebaran ilmu agama dan pusat pembangunan sosial bagi umat Islam.

2 – Masjid hendaklah dijadikan sebagai pusat mesra kanak-kanak, remaja, wanita dan golongan OKU agar kecintaan mereka terhadapnya dapat dipupuk sejak awal.

3 – Pengimarahan masjid memerlukan kerjasama yang erat antara jawatankuasa masjid dan semua lapisan masyarakat agar ia dapat berfungsi dengan lebih menyeluruh dan berkesan.

Scroll to Top