Pemergian Joey BPR kehilangan besar kepada industri seni – Seniman

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemergian vokalis popular rock era 1980-an, Allahyarham Joey BPR bukan sahaja kehilangan penyanyi berpengalaman, malah seorang sahabat dan pejuang industri seni tanah air.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah berkata, beliau percaya nama Joey BPR akan sentiasa hidup menerusi karya yang ditinggalkan menerusi lagu-lagu hebat.

Menurutnya, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) persatuan berkenaan kepada industri seni tanah air.

“Seluruh kepimpinan tertinggi dan barisan exco Seniman menzahirkan salam takziah kepada isteri Allahyarham, anak-anak serta seluruh ahli keluarga.

“Seniman mendoakan agar keluarga arwah diberikan kekuatan menghadapi dugaan ini dan roh Allahyarham ditempatkan di dalam syurga,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, berdasarkan maklumat isteri Allahyarham, Zarinah Zainal, Joey dilaporkan rebah sejurus selesai menjayakan persembahan di sebuah acara di ibu negara pada malam Jumaat, sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kecemasan.

“Hasil pemeriksaan doktor kemudiannya mengesahkan terdapat pendarahan pada bahagian kepala serta komplikasi berkaitan jantung.

“Jenazah kini masih berada di HKL dan akan dibawa ke Masjid Ukay Perdana untuk urusan seterusnya, manakala maklumat lanjut mengenai proses pengebumian akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Mengimbas latar belakang, Joey BPR antara nama besar yang mencorak perjalanan muzik rock tempatan sejak era 1980-an.

Kumpulan BPR yang mula aktif sekitar 1985 meletakkan Allahyarham sebagai figura penting dalam mengukuhkan pengaruh kumpulan itu di industri muzik Malaysia.

Sepanjang pembabitannya bersama BPR, arwah menghasilkan pelbagai lagu malar segar yang terus diminati hingga kini antaranya Aku Hanya Serangga, Dari Sinar Mata, dan Seribu Tahun Takkan Mungkin.

Kumpulan itu turut mengecap zaman kegemilangan menerusi barisan album popular seperti Selamat Pagi Malaysia (1986), Bisa (1987), Kelab Jiwa Luka (1990) dan Era 90-an (1991).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top