BUKIT MERTAJAM – Wang negara yang berjaya diselamatkan daripada ketirisan dan salah guna perlu dikembalikan kepada rakyat bagi memastikan mereka terus mendapat manfaat daripada hasil negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak boleh berdiam diri terhadap sebarang bentuk ketirisan atau kehilangan wang negara sebaliknya tindakan perlu diambil berdasarkan siasatan dan bukti.
Menurut beliau, tindakan tegas mungkin mengundang kritikan namun kerajaan perlu berpegang kepada prinsip tadbir urus yang baik demi kepentingan rakyat.
“Saya nak sekat yang itu, ambil balik, bagi balik kepada rakyat. Itu saja. Itu kena maki berbagai-bagai.
“Kalau orang nak RM2,000 saja, yang kamu ambil dan bagi hilang ini bilion-bilion ringgit, saya nak sekat yang itu, ambil balik, bagi balik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Program Skim Usahawan Bangkit (SUB) Madani Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman Penanti, Kubang Semang di sini pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, kerajaan perlu berani mengambil tindakan terhadap sebarang ketirisan atau kehilangan wang negara berdasarkan siasatan dan bukti meskipun tindakan berkenaan mungkin mengundang kritikan.
Beliau memberi contoh isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan dakwaan kehilangan dana berjumlah RM12 bilion yang menurutnya perlu disiasat bagi mengenal pasti bagaimana kehilangan itu berlaku serta pihak yang bertanggungjawab.
“Saya kata duit hilang RM12 bilion. Macam mana hilang? Bila hilang? Siapa bagi hilang? Kamu siasat.
“Ada siasatan, ada bukti, heret pergi. Ada bukti kuat, dakwa ke mahkamah. Kemudian serah kepada hakim,” tegasnya.
Anwar berkata, proses undang-undang perlu dihormati kerana pihak yang menentukan seseorang itu bersalah atau tidak bukan dirinya sebagai Perdana Menteri sebaliknya mahkamah.
“Dia tak salah, lepas. Dia salah, pergi Sungai Buloh, ke Kajang, ikutlah. Itu cara kita perintah tadbir,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan pada masa sama sentiasa berusaha memastikan peruntukan yang disediakan dapat dimanfaatkan rakyat.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan perlu memastikan bantuan dan peruntukan yang disediakan sampai kepada golongan yang berhak, bukannya diselewengkan oleh pihak tertentu.
“Dulu, kadang orang atas itu, dia ambil banyak. Kalau hak dia tak apa. Ini kita nak bagi berapa? RM800, paling tinggi RM4,000. Tapi yang hilang, puluh ribu juta,” katanya.
Menurutnya, kritikan yang diterima terhadap ketegasan kerajaan dalam menangani isu ketirisan tidak akan menghalangnya daripada terus memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Saya kata, makilah banyak mana pun. Saya gaji pun tak ambil.
“Saya nak tunjuk, tak semua wakil rakyat, tak semua menteri, tak semua pemimpin duduk kerja nak ambil duit orang saja. Itu saja saya nak bagi mesej,” katanya.