SHAH ALAM – Ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi selepas banjir melanda Nepal terus berharap mereka berada dalam keadaan selamat dan dipermudahkan segala urusan.
Pengguna Threads, Waniyawww menerusi perkongsian di platform itu memaklumkan kemas kini terakhir bapa mentuanya diterima pada jam 8.45 pagi waktu Malaysia ketika lelaki itu sedang minum kopi.
“Last abah update minum kopi, 8.45 pagi waktu Malaysia. So Wani harap abah tak sampai lagi kat border tu. Semoga jauh lagi… tapi kalau dah lepas, abah kat tempat paling tinggi.

Gambar yang dikongsikan oleh pengguna Threads, Waniyawww.
“Semua orang tahan diri daripada menangis kat rumah abah ni. Semua orang menunggu khabar abah. Semoga abah sihat, selamat dan dipermudahkan segala urusan. Wani serahkan semuanya pada ALLAH SWT,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa bapa mentua dan pasukannya bukan pendaki yang berjalan kaki atau sebahagian daripada pasukan Annapurna, sebaliknya mereka menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD).
“Abah mertua saya (baju hijau), diorang naik four wheel, bukan pendaki jalan kaki tu dan bukan team Annapurna. Team abah, diorang travel sembilan orang dan satu guide dengan dua jeep,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Waniyawww turut mengakui tidak mampu membalas satu persatu mesej yang diterima susulan kejadian itu.
“Tak boleh nak reply satu satu, dah cuba tapi lagi banyak air mata mengalir baca segala doa dan semangat. Hanya ALLAH mampu membalas kebaikan kalian. Semoga ALLAH permudahkan segalanya,” katanya.
Beliau turut memohon agar semua pihak mendoakan keselamatan bapa mentua dan pasukannya.

Senarai mangsa yang turut dikongsikan oleh Waniyawww.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan ahli keluarga mangsa yang dilaporkan gagal dihubungi selepas banjir kilat melanda Nepal berharap mereka dapat dipertemukan semula dalam keadaan selamat.
Menerusi perkongsian di Threads, pengguna akaun Syahirah.ak meluahkan kebimbangan terhadap nasib bapa saudaranya, Mohd Sani Harul dan seluruh pasukan LOE yang masih gagal dihubungi selepas dipercayai berada di kawasan terjejas.
Banjir yang dicetuskan oleh limpahan Sungai Bhote Koshi itu menyebabkan kerosakan teruk terhadap infrastruktur, termasuk jalan raya, jambatan, lebuh raya dan rangkaian komunikasi.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan, namun akses ke kawasan terjejas masih terhad.
Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital utama di Kathmandu bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia terbabit.